LONDON – Seorang lelaki ditahan selepas mencuri sebuah ambulans membawa seorang pesakit dan anggota paramedik di luar sebuah hospital, lapor akhbar The Mirror UK.
Polis melancarkan operasi besar-besaran selepas kenderaan itu dicuri dari Hospital Universiti Royal Stoke, England semalam.
Tiada kunci ditinggalkan di dalam ambulans semasa kejadian pukul 8.15 malam (waktu tempatan), lapor portal berita Stoke-on-Trent Live.
Suspek berusia 31 tahun diberkas selepas polis mengejar ambulans yang dipandunya sehingga ia berhenti di sebuah stesen minyak di persimpangan Liverpool Road dan London Road.
Dia cuba melarikan diri tetapi dihalang oleh anjing polis.
“Kami dihubungi selepas seorang lelaki menyelinap ke dalam ambulans yang diletakkan di hospital lalu memandunya. Seorang anggota paramedik, pesakit dan individu lain berada di belakang ambulans ketika ia dicuri.
“Suspek ditahan untuk soal siasat. Tiada kecederaan dilaporkan,” kata jurucakap seorang polis Staffordshire. – AGENSI














