LIVERPOOL – Jodoh Mohamed Salah bersama Liverpool akhirnya mencapai titik penghujung selepas bintang Mesir itu sah meninggalkan kelab berkenaan penghujung musim ini setelah berbakti hampir sembilan tahun sejak 2017.
Salah yang kini berusia 34 tahun, mencapai persetujuan dengan juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL) untuk menamatkan kontrak lebih awal sekali gus berpotensi untuk berhijrah secara percuma pada jendela perpindahan lepas.
Menurut Salah, pengalaman menyarung jersi Liverpool adalah kenangan terindah dalam hidup dan harap akan terus menjadi sebahagian daripada The Reds walaupun tidak lagi bersama secara rasmi.
“Berpisah bukan perkara yang mudah untuk dilakukan. Kelab ini memberikan detik terbaik dalam hidup dan saya akan terus menyokong Liverpool walau dimana sahaja saya berada.
“Kelab dan bandaraya ini sangat istimewa terutama penyokong setia yang akan kekal menjadi sebahagian daripada hidup saya. Kami meraikan kejayaan bersama, memenangi trofi terbesar dan mengharungi saat sukar bersama.
“Sokongan anda sepanjang karier saya di sini tidak akan saya lupakan,” katanya.
Sepanjang mewakili Liverpool, Salah muncul legenda kelab apabila meledak 255 gol sekali gus menjadikannya penjaring ketiga terbanyak dalam sejarah The Reds.
Kelab Liga Pro Arab Saudi, Al-Ittihad pernah mengemukakan tawaran sekitar £150 juta untuk mendapatkan khidmat Salah pada 2023 tetapi ditolak oleh pengurusan Liverpool.
Ejen Salah, Ramy Abbas turut mengesahkan belum ada rundingan lanjut mengenai pasukan baharu bakal disertai kerana menghormati Liverpool sehingga kempen musim ini berakhir.
Salah sebelum ini menjadi tonggak utama Liverpool menjuarai EPL musim lalu dengan 34 gol, tetapi prestasinya merosot musim ini apabila hanya menjaringkan 10 gol ketika ini. – AGENSI














