KULIM – Seorang pemandu kereta jenis Perodua Kancil yang tular dikejar polis sehingga merempuh meja khemah jamuan berjaya diberkas dalam serbuan di Padang Serai, di sini semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim, Deputi Superintendan Tengku Mohd. Faizal Tengku Yeng berkata, suspek berusia 27 tahun itu ditahan di tepi jalan Kampung Sidam Kanan kira-kira pukul 8 malam.
Katanya, kejadian berlaku kira-kira pukul 9.45 malam kelmarin apabila anggota unit kereta peronda (MPV) mengesan kereta Perodua Kancil berwarna biru dalam keadaan mencurigakan di sebuah pasar raya di Taman Serai Wangi.
“Anggota polis mengarahkan pemandu berhenti dengan menyalakan lampu beacon serta siren, namun suspek enggan dan melarikan diri ke arah Taman Lagenda. Suspek memandu secara melulu hingga melanggar khemah, kerusi dan meja di hadapan sebuah rumah sebelum memecut ke arah Taman Mahsuri,” katanya hari ini.
Tambahnya, suspek turut melanggar belakang sebuah kenderaan di Simpang Tiga Fok Siang sebelum meloloskan diri ke arah Kampung Selamat, Pulau Pinang dan menghilangkan diri.
“Hasil risikan dan operasi polis berjaya menahan pemandu lori itu pada keesokan harinya. Pemeriksaan menemukan satu peket plastik lut sinar berisi dadah disyaki syabu seberat 0.3 gram. Ujian air kencing suspek didapati positif methamphetamine,” ujarnya.
Polis merampas kereta Perodua Kancil dan anak kunci bagi membantu siasatan. Suspek yang mempunyai satu rekod kes dadah direman empat hari untuk siasatan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE














