LONDON – Seorang posmen di Britain mencetuskan kemarahan orang ramai selepas dirakam membuang air kecil di hadapan pintu kediaman di sebuah blok pangsapuri, lapor akhbar The Sun UK.
Kejadian berlaku sekitar pukul 6 petang (waktu tempatan) di Loughton, Essex, baru-baru ini.
Rakaman video dikongsi kepada Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) menunjukkan pekerja berpakaian seragam syarikat Royal Mail itu berjalan ke hadapan pintu sebuah pangsapuri dan berdiri selama beberapa saat.
Dia kemudian membuka zip seluar lalu membuang air kecil sebelum beredar.
Seorang penghuni pangsapuri tersebut terkejut apabila perbuatan tidak senonoh itu dirakam kamera loceng pintunya dan segera membuat aduan rasmi kepada Royal Mail.
Seorang jurucakap Royal Mail mengesahkan pihaknya telah melancarkan siasatan.
“Kami menyiasat sepenuhnya perkara ini, namun tingkah laku sedemikian sama sekali tidak menepati jangkaan kami terhadap kakitangan,” kata jurucakap itu. – AGENSI














