fbpx
Muhammad Aidil Rizqie (enam dari kanan) dan Siti Farhanah (enam dari kiri) bersama kakitangan yang menyokong pembangunan syarikat di ibu pejabat Playvelope di Senawang, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Playvelope penuhi keperluan ibu bapa, anak istimewa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Pengalaman bekerja dalam bidang Occupational Therapist dan kejururawatan di sektor awam selama lebih 10 tahun mencetuskan minat mendalam buat pasangan suami isteri ini mengasaskan Playvelope atau dulu dikenali sebagai Seremban Occupational Therapy Centre (SOTC) pada tahun 2017.

Bermula dengan menawarkan perkhidmatan rumah ke rumah, Pengarahnya, Muhammad Aidil Rizqie Darmalingam dan Pengarah Urusan, Siti Farhanah Abd Jalil kini mengoperasikan empat buah pusat terapi dan sebuah Sekolah Rendah Pendidikan Khas Playvelope di Senawang, Negeri Sembilan.

Ia bertujuan untuk memberi peluang pembelajaran yang berkualiti kepada kanak-kanak istimewa seperti autisme, masalah pembelajaran, sindrom Down dan gangguan hiperaktif kekurangan perhatian (ADHD).

Usahawan ini turut peka dengan beban tanggungjawab, permasalahan dan tekanan hidup yang dihadapi ibu bapa yang memiliki anak istimewa ini dengan menyediakan platform sokongan agar mereka tidak rasa terasing, malah bersedia berkongsi kisah dengan ibu bapa senasib.

“Berbanding dulu, ibu bapa yang ada anak istimewa, lebih bersikap terbuka dan mereka bersedia membuat apa sahaja untuk mengasuh anak mampu berdikari.

“Ada ibu bapa yang menghantar anak mereka ke sekolah rendah di sini meskipun tidak mampu daripada aspek pendapatan bulanan tetapi mereka akan berkorban apa sahaja, malah membuat kerja sampingan dan sanggup berniaga untuk menampung bayaran yuran bulanan untuk membolehkan ‘anak syurga’ memanfaatkan pembelajaran yang berkualiti,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui baru-baru ini.

KOSMO!: Boleh jelaskan lebih lanjut mengenai Playvelope dan peranannya untuk membantu kanak-kanak OKU?
AIDIL: Playvelope kini dikenali sebagai sebuah institusi yang komprehensif yang berde­dikasi menyediakan persekitaran yang menyokong pertumbuhan perkembangan anak-anak istimewa. Ia memfokuskan kepada kanak-kanak autisme, masalah pembelajaran, sindrom down, ADHD, kelewatan perkembangan global.

Ia juga menyediakan rangkaian penuh perkhidmatan termasuk Program Intervensi Awal, Program Intervensi Sekolah, Pendidikan Rendah, Pendidikan Islam dan Moral, Pengurusan Tingkah Laku Kanak-kanak, Penilaian Perkembangan, Diagnosis, Terapi Cara Kerja, Fisioterapi, Terapi Pertuturan, Terapi Bermain, kemudahan Bilik Deria, serta Splinting.

Boleh jelaskan berapa banyak cawangan yang ada?
Buat masa sekarang, kami ada empat outlet iaitu ibu pejabat di Senawang, Sendayan; Eco Majestic, Semenyih dan yang terbaharu adalah di Kota Damansara, Selangor.

Semua ini dikendalikan oleh ibu pejabat dan kami tidak bercadang untuk membuka cawangan di bawah konsep francais kerana kami sangat mengutamakan kualiti perkhidmatan.

Ini bukan melibatkan perkhidmatan mengajar kanak-kanak normal tetapi mereka adalah kanak-kanak istimewa yang memerlukan perhatian yang berbeza.

Kami juga memikul tanggungjawab yang besar iaitu amanah ibu bapa dan penjaga mereka, jadi perniagaan yang menawarkan perkhidmatan ini tidak boleh dibuat secara sesuka hati ikut minat kita.

Berapa ramai pelajar?
Berbanding pada fasa awal pembukaan institusi ini, pelajar hanya seramai antara 20 hingga 30 orang tetapi sekarang jumlahnya sudah bertambah kepada lebih kurang 80 pelajar yang mana ia terbahagi kepada dua segmen iaitu pusat terapi dibuka untuk kanak-kanak berumur berusia seawal dua tahun tetapi untuk mendaftar di Sekolah Rendah Pendidikan Khas Playvelope pula adalah mereka yang berumur antara tujuh hingga 14 tahun.

Bagaimana pula dengan yuran pembelajaran?
Selalu yang membebankan ibu bapa adalah yuran tahunan tetapi kami menjadikan ia sebagai satu kemudahan yang mampu milik diakses oleh ibu bapa.

Memandangkan ini adalah sekolah pendidikan khas dan sekolah swasta, bayaran yuran bulanannya adalah RM1,600 tetapi melihat kepada angka itu, ia mungkin mahal tetapi di dalam kos ini kami telah sediakan khidmat pemulihan cara kerja dan psikologi klinikal kepada semua pelajar di sini.

Ia meliputi semua keperluan kesihatan buat kanak-kanak ini, jika mereka mahu mendapatkan khidmat tersebut di luar iaitu di klinik dan hospital mereka perlu membayar sejumlah bayaran dan perlu mencari mana-mana klinik yang menyediakan khidmat pakar-pakar tersebut.

Lebih malang, mereka juga perlu menunggu untuk membuat temu janji.

Apakah perbezaan Playvelope ini dengan sekolah lain dalam industri ini?
Kanak-kanak ini perlu melalui proses penilaian perkembangan atau diagnosis yang mana ia akan dilakukan oleh psikologi kli­nikal di sini.

Kanak-kanak ini akan melalui ujian penilaian untuk memperincikan tentang tahap perkembangan kanak-kanak tersebut.

Penilaian ini mengikut standard global yang mana dilakukan oleh psikologi klinikal dan jurupulih yang pakar dalam bidang ini untuk melaksanakan proses tersebut.

Para guru kami juga terlatih dan bertauliah serta memiliki permit untuk mengajar dan jurupulih berdaftar dengan Malaysian Allied Health Professions Council (MAHPC).

Selain itu, kami juga memiliki kumpulan sokongan ibu bapa yang mana di sini kami akan menyediakan platform untuk ibu bapa berbincang dan meluahkan permasalahan yang dihadapi menguruskan anak-anak istimewa ini.

Ibu bapa ini agak berbeza dengan ibu bapa yang memiliki anak normal kerana ujian dan cabaran mereka cukup berat kerana ada keluarga yang berpecah belah, suami isteri yang bercerai kerana anak-anak istimewa ini.

Oleh itu, kami menganjurkan satu majlis istimewa Malaysian Playvelope Parents Award (MAPPA) untuk ibu bapa ini tanpa membawa anak istimewa untuk diraikan bersama. Mereka begitu gembira dan lebih menarik kami akan memberikan anugerah kepada ibu bapa cemerlang ini agar ia akan memotivasikan mereka, terus bersema­ngat untuk hari mendatang.

Adakah pelajar-pelajar ini perlu menduduki peperiksaan utama dan bercuti seperti sekolah biasa?
Ya, di Sekolah Rendah Pendi­dikan Khas Playvelope, pelajar akan menduduki peperiksaan yang meliputi kerja khusus yang perlu dilakukan di rumah, aktiviti perkembangan fizikal dan akademik.

Lebih menarik sekolah Playvelope tiada cuti penggal seperti pelajar normal. Cuti sekolah pelajar akan melalui sesi pembelajaran seperti biasa dan hari Sabtu pula setengah hari.

Playvelope hanya mengambil cuti umum, sebagai contoh, cuti hari raya kerana perkembangan kanak-kanak ini akan merosot jika melalui tempoh cuti yang panjang.

Selalunya bila mereka kembali semula ke sekolah selepas hari raya nanti, akan ada sahaja ragam yang mereka bawa ke sekolah nanti.

Bagaimanakah tahap ke­sedaran ibu bapa untuk menghantar anak mereka ke sekolah pendidikan khas ini?
Kesedaran itu semakin me­ningkat tetapi ada juga yang masih berada pada fasa ‘denial’ yang mana mungkin ibu sudah boleh menerima kenyataan anak mereka adalah istimewa tetapi mungkin bapanya tidak boleh terima kenyataan.

Dia masih menafikan dakwaan tersebut lantas mahu mengasuh anaknya seperti anak normal dan menghantarnya ke sekolah biasa.

Sememangnya, kanak-kanak itu nampak normal secara fizikalnya tetapi kanak-kanak itu mengalami masalah. Malah ada juga ibu bapa yang tidak mendapatkan kad OKU untuk anaknya kerana mereka ada stigma berbeza untuk menerima kenyataan sebenarnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI