fbpx
SERAMAI 22 atlet kini disenaraikan dalam program podium, manakala 40 atlet lain disenarai dalam Program Pelapis menjelang Sukan SEA 2027. - GAMBAR HIASAN

Misi perkukuh struktur olahraga negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PERSATUAN Olahraga Malaysia (MA) menekan butang ‘reset’ dalam usaha membina semula reputasi sukan olahraga ke arah kejayaan gemilang terutama sewaktu Malaysia menjadi tuan rumah temasya Sukan SEA 2027 nanti.

Hakikatnya, Olahraga Malaysia sudah lama berdepan persoalan terutama melibatkan prestasi di pentas antarabangsa walaupun sukan itu sering dianggap sebagai antara lubuk pingat utama negara.

Justeru, langkah ‘reset’ yang sedang dilaksanakan MA dilihat sebagai usaha penting untuk memastikan olahraga kembali berada di landasan sebenar sebagai pencabar emas pada temasya dwitahunan tersebut tahun depan.

Transformasi ini juga hadir tepat pada waktu memandangkan Malaysia bakal berdepan beberapa temasya besar akan datang termasuk Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, Sukan Komanwel 2026 serta Sukan SEA 2027.

Setiausaha Agung MA, Nurhayati Karim mendedahkan langkah penstrukturan semula itu bukan sekadar pertukaran individu dalam organisasi, sebaliknya turut memperkukuh struktur kejurulatihan.

Katanya, pihaknya memperoleh kelulusan untuk mengisi 19 jawatan jurulatih kebangsaan melalui proses pelantikan temuduga terbuka melibatkan panel daripada Institut Sukan Negara, Majlis Sukan Negara, MA dan bebas.

“Langkah penstrukturan semula itu lebih tersusun dan telus. Menerusi pelantikan tersebut, 16 jurulatih tempatan dibawa masuk dan tiga slot khusus untuk pakar luar negara yang akan memimpin disiplin pecut, balingan serta larian jarak sederhana dan jauh.

“MA juga sedang meneliti calon dari negara kuasa olahraga seperti India, Jerman dan Afrika Selatan. Langkah ini membuktikan MA tidak lagi mahu terikat dengan pendekatan latihan tradisional, sebaliknya mahu membawa masuk metodologi sains sukan yang lebih moden,” katanya.

Dalam struktur baharu itu, MA turut memperkenalkan pembahagian tugas yang lebih spesifik dengan pelantikan ketua bagi setiap disiplin utama olahraga, selain menyerap beberapa bekas atlet ternama sebagai jurulatih pelapis termasuk Lee Hup Wei, Muhammad Hakimi Ismail, Tan Song Hwa, Lo Choon Sieng, Hisham Mustaza Ibrahim, Mohd Jironi Riduan dan Roslinda Samsu.

Bekas ketua jurulatih negara, Manshahar Abd Jalil yang kini memegang peranan sebagai Ketua Jurulatih Lompatan dan penyelaras program latihan kebangsaan, turut menyambut positif pembaharuan yang dilakukan MA.

“Pemilihan lebih telus, jadi tak ada orang boleh kata pemilihan itu ikut pilih kasih atau kroni. Mereka melalui prosedur yang ditetapkan dengan panel daripada ISN, MA, MSN dan panel bebas.

Maknanya lengkap dan sukar untuk dipertikaikan.

“Struktur baharu ini juga membolehkan setiap jurulatih memberi tumpuan lebih khusus kepada disiplin masing-masing sekali gus meningkatkan kecekapan sistem latihan.

“Apapun, tahun 2026 ini lebih kepada membina platform yang kukuh supaya pada 2027 kita boleh capai KPI yang ditetapkan selaku tuan rumah Sukan SEA. Kita mahu memastikan olahraga berada di tahap lebih baik dan mampu meraih lebih banyak pingat,” kata Manshahar.

Dalam masa sama, seramai 22 atlet kini disenaraikan dalam program podium, manakala 40 atlet lain disenarai dalam Program Pelapis bagi memperkasakan barisan pelapis menjelang Sukan SEA 2027.

Selain itu, MA turut memberi peluang kepada atlet di luar program apabila Kejohanan Kebangsaan pada Jun depan akan dijadikan medan penilaian kedua untuk menyerap atlet berprestasi tinggi. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN