SHAH ALAM – Rasa tidak puas hati serta perasaan terguris dipercayai menjadi motif insiden khianat dan ugutan jenayah terhadap seorang aktivis, S. Chandrasegaran, 47, atau lebih dikenali sebagai ‘Cikgu Chandra’, di kawasan perumahan Taman Kinrara, Puchong.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, siasatan polis setakat ini mendapati kejadian tersebut tidak melibatkan sebarang elemen kongsi gelap.
Menurutnya, polis berjaya menahan 12 suspek termasuk seorang wanita berusia lingkungan 30 hingga 40 tahun menerusi beberapa serbuan bermula 12 Mac hingga semalam di sekitar Banting, Subang dan Serdang
Tangkapan dibuat menerusi operasi bersepadu Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang.
“Daripada jumlah tersebut, tujuh suspek dikenal pasti mempunyai kaitan langsung dengan kejadian dan masih direman bagi membantu siasatan.
“Siasatan awal mendapati insiden itu dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati selain perasaan terguris terhadap mangsa,” katanya pada sidang akhbar di IPK Selangor, di sini hari ini.
Tambahnya, polis turut berjaya menahan individu yang dipercayai sebagai dalang utama kejadian, manakala wanita yang ditahan merupakan isteri kepada salah seorang suspek.
“Semakan lampau mendapati lima daripada tujuh suspek yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau, namun kesemua mereka didapati negatif dadah.
“Lima suspek termasuk wanita berkenaan telah dibebaskan dengan jaminan polis sementara siasatan diteruskan di bawah Seksyen 427, Seksyen 506 dan Seksyen 435 Kanun Keseksaan,” ujarnya.
Beliau menjelaskan, hasil tangkapan tersebut turut membawa kepada rampasan tiga buah kereta iaitu Toyota Vios, Honda City dan Nissan Almera selain dua motosikal jenis Honda Wave dan Yamaha Y16 yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.
“Polis kini sedang mengesan tiga lagi suspek lelaki berusia antara 30 hingga 40 tahun yang masih bebas bagi melengkapkan siasatan.
“Kita percaya kedua-dua kejadian ini berjaya diselesaikan hasil tangkapan yang dibuat setakat ini,” katanya.
Terdahulu, dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang pada 10 Mac lalu, sekumpulan lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang disyaki menyerang rumah Chandra di Taman Kinrara.
Suspek yang memakai topeng hitam itu kemudian memecahkan cermin belakang kereta Perodua Viva miliknya serta merosakkan jeriji besi di hadapan rumah.
Dalam kejadian berasingan, sekumpulan individu dipercayai datang semula ke rumah Chandra kira-kira pukul 3.20 pagi pada 11 Mac sebelum mencampakkan objek dipercayai bom petrol.
Tindakan itu menyebabkan sebuah kereta jenis Suzuki Ertiga milik Chandra musnah 100 peratus manakala Perodua Viva dan sebuah lagi kenderaan turut terjejas akibat kebakaran itu. – KOSMO! ONLINE














