KUANTAN – Jabatan Mufti Pahang menafikan penyebaran satu dokumen di media sosial yang dikatakan sebagai surat rasmi penetapan waktu solat sunat hari raya Aidilfitri bagi negeri Pahang.
Dalam surat rasmi Jabatan Mufti negeri Pahang yang tular itu menyatakan waktu solat sunat Aidilfitri tahun ini bagi negeri Pahang ditetapkan pada pukul 8.45 pagi pada 20 Mac depan.
Mufti Pahang, Prof. Datuk Dr. Asmadi Mohamed Naim berkata, dokumen berkenaan adalah palsu dan tidak dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Pahang.
“Jabatan Mufti Pahang memandang serius penyebaran satu dokumen yang tular di media sosial yang didakwa sebagai surat rasmi berkaitan penetapan waktu solat sunat aidilfitri bagi negeri pahang.
“Sehubungan itu orang ramai dinasihatkan tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih serta sentiasa merujuk kepada pengumuman rasmi daripada Jabatan Mufti Negeri Pahang atau pihak berkuasa agama negeri Pahang bagi mendapatkan maklumat yang tepat,”kata dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau meminta semua pihak bersama-sama mengekang penyebaran berita palsu seperti itu yang dilakukan pihak tidak bertanggungjawab.
Katanya, pihak Jabatan Mufti Pahang tidak menolak kemungkinan untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa sekiranya penyebaran dokumen palsu itu berterusan.-KOSMO! ONLINE.














