PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) sudah mengenal pasti dua gandingan utama bakal menggalas cabaran negara ke saingan Piala Thomas 2026 di Horsens, Denmark yang dijadualkan berlangsung dari 24 April hingga 3 Mei depan.
Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi mengesahkan pasangan nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan beregu nombor enam dunia, Man Wei Chong-Tee Kai Wun bakal mengisi dua slot tersebut.
Katanya, pemilihan kedua-dua pasangan itu dibuat berdasarkan merit serta kedudukan ranking dunia semasa yang menyaksikan mereka kekal sebagai tonggak paling konsisten dalam skuad kebangsaan ketika ini.
Bagaimanapun, Herry mendedahkan slot bagi mengisi kekosongan beregu ketiga masih lagi menjadi tanda tanya dan keputusan akhir hanya akan dicapai selepas mesyuarat bersama pengurusan tertinggi BAM dan Pengarah Kejurulatihan Beregu, Rexy Mainaky.
“Yang sudah pasti pergi Piala Thomas ini ialah Aaron-Wooi Yik dan Wei Chong-Kai Wun. Mungkin slot ketiga milik Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani atau boleh jadi Arif Junaidi-Yap Roy King.
“Apapun kita belum mesyuarat lagi untuk keputusan akhir pemain yang akan kita bawa ke Piala Thomas. Kita akan lihat prestasi semasa sebelum buat keputusan,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara semalam.
Mengulas lanjut, Herry menegaskan bahawa faktor kecergasan dan kestabilan mental di kejohanan besar akan menjadi kriteria utama dalam memilih gandingan sokongan tersebut.
Persaingan merebut slot ketiga itu dijangka sengit memandangkan Sze Fei-Izzuddin dan Arif-Roy King mempunyai kelebihan tersendiri dalam acara berpasukan.
Herry turut memberi bayangan bahawa prestasi dalam beberapa siri jelajah dunia sebelum tarikh pendaftaran pemain ditutup akan menjadi kayu ukur paling adil bagi menentukan siapa yang benar-benar layak.
Skuad Piala Thomas negara kali ini diletakkan harapan tinggi untuk membawa pulang gelaran berprestij itu yang kali terakhir dimenangi pada edisi 1992 yang berlangsung di Stadium Negara, Kuala Lumpur selepas menewaskan Indonesia 3-2.














