fbpx
KILANG memproses kaolin secara haram di Tanjung Rambutan diserbu penguat kuasa dalam Op Bersepadu Khazanah semalam.

PGA rampas 45,000 tan metrik kaolin haram bernilai RM6.26 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

IPOH – Bahan mineral jenis kaolin seberat 45,000 tan metrik dianggarkan bernilai RM6.26 juta dirampas dalam satu operasi penguatkuasaan di sebuah kilang yang beroperasi secara haram di Tanjung Rambutan di sini semalam.

Serbuan ke atas premis itu dijalankan oleh Cawangan Risik Ibu Pejabat Briged Utara, Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan kerjasama Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Perak dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.

Komander Briged Utara PGA Ulu Kinta, Senior Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, rampasan dibuat melalui Op Bersepadu Khazanah itu membawa kepada tangkapan enam individu melibatkan warga tempatan, China, Indonesia dan Bangladesh.

Katanya, berdasarkan siasatan, kesemua tangkapan berusia 20 hingga 40 tahun itu dipercayai terlibat dalam memproses bahan berkenaan secara haram, tanpa kelulusan pihak berkuasa.

“Pemeriksaan ke atas kilang itu menjumpai sejumlah besar tanah berwarna putih atau dikenali sebagai kaolin yang sedang diproses selain beberapa mesin dan jentera.

“Hasil siasatan awal mendapati kilang haram tersebut telah beroperasi sejak setahun lalu,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, modus operandi yang digunakan sindiket tersebut ialah dengan membeli tanah putih campuran yang diperoleh dari kawasan kuari kaolin sebelum diproses melalui kaedah menapis, mencuci, memampatkan dan mengasingkannya kepada pasir dan kaolin tulen bagi meningkatkan kualiti.

Katanya, selepas melalui proses tersebut, kaolin yang mencapai gred lebih tinggi akan dijual pada harga lebih mahal untuk pasaran tempatan dan antarabangsa.

“Siasatan melibatkan seorang lelaki warga tempatan yang merupakan pengarah syarikat dijalankan di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 kerana menggajikan pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Dua orang pekerja warga asing pula disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri.

“Selain itu, tiga yang lain akan disiasat dibawah Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas ditetapkan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI