LONDON – Chelsea masih percaya bahawa penyerang mudanya, Liam Delap memerlukan sedikit lagi masa untuk benar-benar membuktikan kemampuannya sebagai penggempur sensasi pasukan itu.
Delap yang dibeli dari Ipswich Town oleh Chelsea selepas mereka mengaktifkan klausa pelepasan bernilai £30 juta (RM158.20 juta) merupakan antara prospek yang cukup panas pada jendela perpindahan awal musim ini.
Bagaimanapun, dia mengharungi musim yang mengecewakan apabila hanya mampu meledak satu gol sepanjang saingan Liga Perdana Inggeris musim ini bersama Chelsea, selain hanya dianggap sebagai penyerang sokongan kepada Joao Pedro yang meledak 18 gol dalam semua kejohanan.
Susulan prestasi hambar berkenaan, wujud spekulasi bahawa Chelsea akan membenarkannya meninggalkan pasukan itu selepas hanya satu musim, namun laporan menyebut bahawa kelab itu tidak membuat perancangan sedemikian.
Figura berpengaruh di Stamford Bridge dilaporkan percaya bahawa masalah kecederaan belakang yang dialami Delap menyebabkan prestasinya merudum, namun kelab itu bersedia untuk memberikan tempoh yang lebih panjang untuk dia membuktikan kualiti.
Beberapa pengkritik bola sepak England termasuk bekas pemain Manchester United, Roy Keane menganggap Delap adalah pemain yang tidak memiliki keyakinan selain kekurangan kualiti untuk muncul sebagai penyerang terbaik.
Sementara itu, Jamie Carragher menganggap Delap telah membuat kesilapan memilih Chelsea sebagai kelab baharu kerana sepatutnya memilih kelab yang lebih pertengahan untuk berhijrah dari Ipswich apabila menganggap The Blues adalah kelab yang terlalu besar untuknya. – AGENSI














