PETALING JAYA – Tindakan segelintir individu merokok di kedai makan bukan sahaja mengganggu keselesaan orang lain, malah boleh mendedahkan orang sekeliling kepada risiko kesihatan yang serius.
Menerusi hantaran oleh Public Health Malaysia (PHM) di laman Facebook, asap rokok yang dihembuskan perokok tidak hanya memberi kesan kepada mereka sendiri, sebaliknya turut disedut oleh individu lain di kawasan berhampiran.
PHM menjelaskan keadaan itu dikenali sebagai ‘secondhand smoke’, iaitu asap rokok yang dihidu oleh orang sekeliling termasuk kanak-kanak, ibu mengandung serta pekerja premis makanan yang terpaksa berada lama di kawasan tersebut.
“Apabila seseorang merokok di kedai makan atau kawasan awam, dia bukan sekadar melakukan pilihan peribadi. Dia sebenarnya memaksa orang lain berkongsi risiko kesihatan yang sama,” ujarnya
Tambahnya, asap rokok bukan sekadar menghasilkan bau yang kurang menyenangkan, malah mengandungi campuran bahan toksik serta bahan karsinogen yang boleh memberi kesan buruk kepada kesihatan.
PHM menjelaskan terdapat juga fenomena dikenali sebagai ‘thirdhand smoke’, iaitu sisa bahan kimia daripada asap rokok yang boleh melekat pada pakaian, perabot, dinding serta habuk di sekeliling.
“Sisa tersebut boleh terdedah kepada bayi yang dipegang oleh individu yang baru merokok, kanak-kanak yang menyentuh permukaan tercemar serta orang lain yang berada lama dalam ruang sama,” jelasnya.
Sehubungan itu, PHM menegaskan isu merokok di kedai makan bukan sekadar melibatkan adab, sebaliknya berkaitan hak orang lain untuk menghirup udara bersih tanpa pendedahan kepada asap rokok.
“Udara bersih bukan satu kemewahan, sebaliknya hak semua orang,” katanya.- KOSMO! ONLINE.













