fbpx
Warga UPSI bergambar kenangan pada Majlis Iftar Silaturahim UPSI bersama media dan Rakan Strategik 2026 di Kuala Lumpur, semalam. Foto UPSI

UPSI antara 101 terbaik dunia bidang pendidikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) kini berada dalam kelompok 101 terbaik dunia bagi bidang pendidikan, selain menduduki tangga ke-156 terbaik di Asia menerusi penarafan QS World University Rankings Asia 2026.

Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, universiti itu turut mencatat pencapaian membanggakan apabila berada di kedudukan ke-98 dunia dalam penarafan UI GreenMetric, yang menilai komitmen institusi terhadap kelestarian alam sekitar serta pengurusan tenaga hijau.

Menurut beliau, UPSI akan terus memperkukuh kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk industri bagi memastikan peranan institusi pendidikan tinggi dalam menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara dapat diperkasa.

“UPSI tidak boleh berdiri sendiri. Universiti ini merupakan institusi masyarakat yang telah wujud lebih 100 tahun dan akan terus berperanan melahirkan generasi pendidik serta pemimpin masa depan negara,” katanya pada Majlis Iftar Silaturahim UPSI Bersama Media dan Rakan Strategik 2026 di sini malam tadi.

Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah UPSI, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan.

Md Amin berkata, UPSI akan terus mengekalkan fungsi asasnya sebagai universiti untuk masyarakat dan industri, selaras dengan legasi penubuhannya yang bermula sejak era Sultan Idris Training College (SITC) pada tahun 1922.

Sementara itu, majlis buka puasa semalam menghimpunkan kira-kira 94 jemputan terdiri daripada 57 wakil daripada 28 agensi media serta 37 wakil daripada 23 agensi rakan strategik yang selama ini memainkan peranan penting dalam memperkukuh jaringan kerjasama dengan universiti berkenaan.

Md Amin berkata, penganjuran majlis berkenaan merupakan platform bagi menghargai peranan media dan rakan industri yang sentiasa menyokong perkembangan serta pencapaian universiti itu.

Menurut beliau, UPSI amat menghargai sumbangan media yang membantu mempromosikan pelbagai inisiatif serta kejayaan universiti kepada masyarakat.

“Bagi pihak UPSI, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada rakan-rakan wartawan dan rakan industri kerana berkat doa, bantuan dan promosi daripada kalian, UPSI kini menjadi sebuah universiti yang ternama, tersohor dan terkemuka,” katanya.

Md Amin turut merakamkan penghargaan kepada pengamal media yang sentiasa bersama universiti itu termasuk ketika berdepan detik sukar, khususnya ketika insiden yang meragut nyawa 15 pelajar pada Jun tahun lalu.

Katanya, sokongan dan liputan media pada ketika itu banyak membantu memulihkan semangat warga universiti yang berdepan dengan kesedihan mendalam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI