PELUMBA berbasikal trek wanita negara, Nur Alyssa Mohd. Farid bertekad bangkit memburu keputusan lebih baik dalam acara keirin selepas perjuangannya acara pecut individu di Siri Piala Dunia Berbasikal Trek UCI di Perth, Australia terhenti di pusingan 1/8 semalam.
Meskipun terlepas tiket suku akhir, Alyssa menyifatkan penyertaannya di Perth sebagai medan terbaik untuk menguji tahap kemampuan diri serta mengutip pengalaman berharga apabila berdepan barisan pelumba elit bertaraf dunia.
Dalam saingan pusingan 1/16, Alyssa mempamerkan aksi bertenaga apabila memenangi saringan pertama dengan menewaskan pelumba Taiwan, Qiu Jing Wen menerusi catatan masa 11.674 saat (s).
Bagaimanapun, cabaran Alyssa mula diuji di pusingan 1/8 apabila bertemu pelumba handalan China, Yuan Liying dan terpaksa akur menamatkan saingan di tempat kedua dengan perbezaan masa +0.216s.
Mengulas mengenai perlumbaan itu, Alyssa mengakui kehebatan lawannya, namun tetap berpuas hati dengan aspek teknikal tunggangannya yang menunjukkan peningkatan.
“Perlumbaan semalam berjalan dengan baik dan dari segi teknik semuanya okay. Cuma pelumba China itu memang lebih berpengalaman dan dia mempunyai lebih ‘power’.
“Seperti yang kita tahu, dia juga antara pelumba terbaik dunia dan sebelum ini pernah mencatat rekod dunia bagi acara flying 200 meter. Saya cuba buat terbaik sebagai salah satu persiapan menuju Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) nanti,” katanya.
Tambah Alyssa, setiap kesilapan dan jurang kualiti yang dirasai dalam kejohanan ini akan dijadikan bahan pembelajaran untuk memperbaiki prestasinya pada masa hadapan.
Selain Alyssa, seorang lagi bintang pecut basikal negara, Nurul Izzah Izzati Asri turut mencuri tumpuan apabila memberikan saingan cukup sengit sebelum terkandas di pusingan 1/8.
Izzah hampir melakar kejutan besar menewaskan jaguh New Zealand, Ellesse Andrews, namun terpaksa akur di tempat kedua dengan perbezaan masa yang sangat tipis, iaitu hanya 0.035s di belakang pencabarnya itu.
Selepas berakhirnya acara pecut, Alyssa dan Nurul Izzah kini bakal mengalihkan tumpuan sepenuhnya kepada acara keirin hari ini dengan harapan dapat memperagakan aksi lebih mantap untuk dibawa ke ACC nanti.






