PETALING JAYA – Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati selepas seorang lelaki dipercayai warga Arab bersama seorang wanita dilihat meminta wang daripada pengguna jalan raya di sebuah stesen minyak di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Nilai.
Menurut perkongsian seorang pengguna Thread dikenali sebagai Anor berkata, lelaki berkenaan yang memandu sebuah Honda CRV berwarna hitam mendakwa kad ATM miliknya tidak dapat digunakan selepas cuba menghubungi khidmat pelanggan bank namun gagal.
Lelaki itu turut mendakwa keretanya kehabisan minyak dan dia bersama isterinya perlu pulang ke Johor selain tidak mempunyai wang untuk membeli makanan.
“Nak makan pun tak ada duit, bila saya cakap pergi balai polis minta tolong terus dia pergi dan cuba minta dekat pemandu lain.
“Sebelum ini pun pernah nampak pasangan ni dekat Melaka, sama alasan dia minta duit dekat orang,” katanya.
Tinjauan di ruang komen mendapati rata-rata pengguna mendakwa pernah berjumpa dengan pasangan terbabit.
“Tolong tularkan, saya dah terjumpa mereka ini tiga ke empat kali dekat sekitar R&R Seremban jadi memang itu taktik mereka,” kata SitiHajau.
“Ya, dia selalu tukar kereta dan selalu ada dekat R&R Seremban dan Ayer Keroh. Saya dengan suami pernah kena,” kata Nisaa.
“Dua minggu lepas pun keluarga saya kena dekat Petronas Ayer Hitam, jalan cerita sama kad tak boleh pakai anak dan isteri lapar tak makan lagi. Tapi masa tu dia naik Volkswagen. Memaksa-maksa minta duit minyak,” kata Nadhirah. – KOSMO! ONLINE














