BEBERAPA lokasi seperti bangunan tinggal, hospital, tanah perkuburan atau persekitaran hutan sering dikaitkan dengan perkara seram atau kejadian mistik.
Namun berbeza bagi Kasih (bukan nama sebenar) yang berdepan dengan gangguan misteri ketika berada di gimnasium pejabatnya yang terletak di Kuala Lumpur.
Selalunya Kasih bersama dua orang rakannya akan ke gimnasium sekitar pukul 6 petang.
Bagaimanapun, akibat kekangan kerja, suatu hari Kasih dan rakannya memilih untuk ke sana sekitar pukul 8 malam memandangkan gimnasium tersebut tutup pada pukul 11 malam.
Ceritanya, setelah masuk ke gimnasium seperti biasa dia akan ke tandas untuk membersihkan diri dan ‘melepaskan hajat’.
Beberapa kali dia cuba membuka pintu tandas tetapi gagal, perkara itu disedari oleh seorang lelaki yang berada di dalam gimnasium tersebut dan menawarkan bantuan.
“Tanpa memperkenalkan diri, lelaki itu datang dan menawarkan bantuan.
“Tiba-tiba pemegang pintu itu boleh dibuka. Saya berasa pelik kerana beberapa saat sebelumnya pemegang pintu itu tidak boleh digerakkan kerana terkunci.
“Setelah lelaki itu pergi, saya membuka pintu dan melihat ada seorang kanak-kanak lelaki dengan kulit putih melepak sedang duduk mencangkung sambil mukanya melihat tepat ke arah saya.
“Kanak-kanak itu persis watak Toshio Saeki dalam filem Ju-On, kulitnya terlihat sangat putih dan mata yang gelap.
“Disebabkan terlalu terkejut, saya terus tutup pintu tandas dan berlari keluar,” kongsi Kasih tentang pengalaman seram yang dialaminya suatu masa dulu kepada CitaRasa baru-baru ini.
Hasrat Kasih untuk meninggalkan gimnasium itu bagaimanapun gagal apabila dua rakannya muncul dan bertanyakan tentang keadaan dirinya yang dilihat pucat dan cemas.
“Elok saja saya hendak keluar, tiba-tiba ada dua orang rakan datang dan mereka bertanya mengapa saya kelihatan seperti tergesa-gesa untuk pergi.
“Pada masa sama, saya juga melihat keadaan sekitar tiada sesiapa pun di gimnasium pada waktu itu kecuali dua orang rakan yang baru tiba dan mula tertanya-tanya ke mana lelaki tadi itu pergi.
“Agak pelik kerana gimnasium tidak terlalu luas, cukup sekadar menempatkan beberapa peralatan kardio, mesin latihan bebanan dan unit bebanan saja. Oleh itu, keadaan keseluruhan gimnasium boleh dilihat sepenuhnya dari pintu masuk,” ujarnya.
Terkejut dengan kejadian itu dan seperti sedang bermimpi, bibir Kasih seoleh-oleh terkunci untuk menceritakan hal tersebut kepada dua orang rakannya.
Kalau diikutkan hatinya, mahu sahaja dia cepat-cepat keluar tetapi dua orang rakannya itu meminta dia turut bersama mereka di gimnasium.
Ketika mereka bertiga sedang berbual, tiba-tiba radio yang ada di atas rak berhampiran dengan tandas itu berbunyi dan memainkan sebuah lagu lama.
Kata Kasih, suara penyanyi itu kedengaran sama dengan penyanyi popular kegemarannya tetapi lagu yang dimainkan itu tidak pernah didengarkan seumur hidup.
“Agak terkejut, ketika kami sedang berbual-bual tiba-tiba radio itu ‘hidup’ dan memainkan lagu lama, suaranya seperti penyanyi lama dan lagu itu pula seperti era 1940-an atau 1950-an.
“Biarpun kejadian itu hampir 10 tahun berlalu tetapi saya masih ingat lirik lagu itu yang bercerita tentang orang yang jahat akan mendapat balasan Tuhan.
“Beberapa minit kemudian, radio itu tiba-tiba menukar siaran kepada stesen radio lain beberapa kali sebelum tiba-tiba senyap,” ceritanya.
Tambahnya, dia berasa hairan kerana plag radio itu tidak disambungkan dan suis juga tidak dibuka, bagaimana ia boleh tiba-tiba hidup?
Bahkan radio jenis kaset mudah alih itu tidak mempunyai bateri atau sebarang peralatan moden yang membolehkan berfungsi secara automatik.
“Tanpa melengahkan masa kami terus bergegas keluar pulang ke rumah masing-masing.
“Keesokannya barulah kami mula bercakap tentang kejadian itu dan berjumpa dengan Abang Din iaitu penjaga gimnasium tersebut.
“Abang Din memberitahu, sejak gimnasium itu dibuka, pelbagai perkara pelik berlaku seperti lampu dan pendingin hawa mati secara tiba-tiba, radio berbunyi sendiri, pintu tandas terkunci, mesin bebanan bergerak tiba-tiba dan mesin kardio bergerak sendiri,” ujarnya.
Biarpun berdepan dengan kejadian aneh, Abang Din tetap menjalankan tugas menjaga gimnasium dan menasihati agar kami tidak terlalu mengambil serius tentang gangguan tersebut serta menganggap itu sebagai gurauan.
“Abang Din memberitahu, kejadian misteri itu tidak mengenal waktu sama ada pagi, tengah hari, petang atau malam. Bila-bila saja boleh berlaku dan dia juga pernah terdengar seperti kanak-kanak berlari sambil bergelak ketawa di dalam gimnasium.
“Sejujurnya, saya dan kawan-kawan agak takut, namun setelah beberapa kali berdepan dengan gangguan seperti itu, kami mula lali dan menggunakan peralatan gimnasium seperti biasa tanpa rasa takut.
“Tetapi kadangkala ada juga rasa cemas apabila pintu tandas tiba-tiba ditutup dengan kuat, bebanan tiba-tiba bergerak sendiri dan melihat kelibat kanak-kanak berlari-lari ketika sedang menggunakan mesin kardio,” ujarnya.
Meskipun perkara itu sudah lama berlalu, namun Kasih tetap tidak dapat melupakan apa yang pernah dilihatnya di dalam tandas gimnasium mahupun lagu lama yang dimainkan secara tiba-tiba. Pun begitu, dia tidak mahu ambil tahu dan biarlah ia kekal misteri.














