PETALING JAYA – Seorang usahawan bermurah hati menginfakkan dua buah apartmen peribadinya di Mekah sebagai rumah transit bagi membantu jemaah umrah Malaysia yang terkandas akibat masalah jadual penerbangan susulan konflik yang sedang berlaku di Asia Barat ketika ini.
Rosma Ali, 40, yang juga pemilik agensi pelancongan berkata, beliau berdetik untuk membantu kerana memiliki ruang kediaman yang mampu menampung 40 orang jemaah.
“Selepas pandemik Covid-19, saya banyak berulang-alik dari Malaysia ke Tanah Suci membawa jemaah umrah. Dalam tempoh sebulan boleh dikatakan 16 hari saya di sana, dari situ saya berniat untuk cari rumah sendiri di Mekah bagi memudahkan urusan kerja.
“Jadi, saya bantulah jemaah yang kerana saya fikir, saya ada dua buah rumah di Mekah yang boleh muat 40 orang jemaah. Saya nak bantu mereka yang terkandas untuk menginap di rumah saya secara percuma sehingga mereka pulang untuk terbang ke Malaysia balik. Alhamdulillah, Allah beri saya rezeki dan saya berkongsi dengan sahabat-sahabat,” katanya kepada Kosmo! ketika dihubungi.
Tindakan ini mendapat perhatian selepas beliau memuat naik satu hantaran di media sosial untuk segera menghubunginya jika terkandas dan buntu untuk mencari tempat penginapan.
Dalam hantaran tersebut, Rosma menyatakan kesediaan untuk menumpangkan sehingga 10 orang jemaah secara percuma dalam masa terdekat ini.
“Rumah saya lengkap dengan semua perabot dan kelengkapan serta tetamu juga boleh memasak sendiri demi keselesaan mereka,” kata Rosma.
Menurutnya, ini bukan pertama kali beliau membantu rakyat Malaysia untuk menginap di rumahnya secara percuma.
“Sudah ramai jemaah Malaysia yang datang meginap dirumah saya secara percuma, cuma saya tidak beritahu kepada umum sahaja,” ujarnya.
Tambahan pula, buat masa sekarang beliau sudah membantu enam orang jemaah yang terkandas di Mekah sementara menanti penerbangan yang baru daripada pihak penerbangan.
Katanya, setakat ini, tiada cabaran yang besar dalam membantu jemaah kerana rata-rata jemaah hanya memerlukan bantuan penginapan dan makan minum sahaja.
Rosma menyatakan ramai jemaah yang tidak mampu untuk sewa hotel kerana pada musim Ramadan, harga hotel di sekitar Mekah boleh mencecah sehingga RM1000 semalam.
“Walaupun saya berada di Malaysia pada waktu sekarang, tetapi saya ada staf di Mekah yang menguruskan dua buah biji rumah saya di sana. Saya anggap usaha ini hanya usaha yang kecil, yang penting semua orang boleh menunaikan umrah,” katanya. – KOSMO! ONLINE














