KUALA LUMPUR – “Jangan kecam dia, itu Kak Long saya.”
Demikian penegasan penyanyi Amad yang mempertahankan rakan seperjuangannya, Marsya Q apabila dia menjadi sasaran kecaman kerana dianggap tidak menyerlah walaupun bergelar juara dalam program Talk To My Manager (TTMM).
Simpati dengan nasib Marsya, Amad atau nama asalnya Ahmad Dayyan, 14, terus menghubungi rakannya bagi memberikan sokongan moral baru-baru ini.
“Saya kasihan dekat Kak Long saya walaupun dia dapat nombor satu (dalam TTMM) saya tetap menyokong dia. Dia sekarang tengah belajar.
“Saya ada hubungi dia setiap hari dan bagi semangat untuk tidak kisah dengan mulut orang. Teruskan apa yang kita nak buat.
“Dia tak ada mengadu, ‘down’ atau kongsi apa-apa cuma bila saya tengok dalam IG (Instagram), saya rasa macam dia perlukan pertolongan dan terus hubungi dia.
“Saya cakap dengan dia saya dan kawan-kawan TTMM ada di sini. Kami sayang Kak Long,” katanya kepada Kosmo! Online.
Bercakap mengenai buli siber, pelantun lagu Mendewasa itu mengakui juga tidak terlepas daripada menjadi mangsa negatif netizen tetapi memilih untuk tak melayan perkara yang boleh mematahkan semangatnya.
“Buli siber macam-macam saya kena, saya okey dan tak terasa pun. Saya rasa lagi bagi semangat dekat saya.
“Kadang-kadang saya baca komen yang paling pedih sekali adalah ‘Amad jangan menyanyi nanti pengsan’.
“Saya hanya sebut alhamdulillah kalau orang kecam dan tak ambil peduli pun. Dah biasa dengan kecaman, setakat ini tak pernah ‘down’ lagi,” ujarnya.
Tidak cukup dengan buli siber, anak kepada penyanyi Siti Sairah itu turut mendedahkan diejek secara berdepan.
“Dekat luar ada yang cakap depan-depan juga. contohnya dekat sekolah, cikgu suruh menyanyi tapi orang lain beritahu jangan menyanyi nanti pengsan dan sakit bahu.
“Habis kelas, mereka minta maaf. Saya tahu mereka main-mainkan saya tapi tak terasa langsung,” jelasnya.
Sebelum ini, segelintir pihak membandingkan anak kepada penyanyi Liza Hanim dengan peserta lain berikutan kurang menerima tawaran kerja.
Liza membuat laporan polis susulan tindakan segelintir individu membuli anaknya di media sosial.
Pelantun Gelisah Mimpi itu mengemukakan aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) agar tindakan sewajarnya diambil terhadap pemilik akaun terlibat. – KOSMO! ONLINE














