BULAN Ramadan tahun 2026 hadir dengan pelbagai pilihan bufet yang memikat selera daripada suasana nostalgia kampung hingga ke konsep moden dan premium.
Bukan sahaja hotel, bahkan terdapat juga restoran bercita rasa moden yang menawarkan bufet buka puasa istimewa.
Antaranya ialah Restoran Dancing Fish di SkyDeck B, Bloomsvale Shopping Gallery, Kuala Lumpur yang mempersembahkan hidangan Melayu-Indonesia autentik dalam suasana moden dan elegan.
Menurut pengasas Dancing Fish, Joshua Teoh, restoran itu menawarkan pengalaman berbuka puasa dalam suasana terbuka ‘di bawah langit’ sambil mengetengahkan hidangan berteras warisan Melayu-Indonesia.
Katanya, bufet dinamakan Santapan Di Bawah Langit itu diwujudkan bagi memenuhi keinginan pelanggan yang mahu menikmati bufet Ramadan dalam suasana lebih eksklusif, selesa dan tersusun.

“Bufet Santapan Di Bawah Langit menampilkan rendang daging minang, ayam bakar berempah, sambal hijau, ikan goreng rangup serta pelbagai ulam dan sambal tradisional.
“Konsep perkongsian hidangan menjadikan pengalaman berbuka lebih intim dan meriah, sesuai untuk keluarga dan rakan-rakan,” kongsinya.
Bagi mengukuhkan kempen Ramadan ini, Dancing Fish turut melantik Tya Ariffin dan Khairy Jamaluddin sebagai duta rasmi bufet.
Harga bufet di Dancing Fish adalah RM188 seorang, Bufet berlangsung dari 19 Februari hingga 19 Mac ini.
Selain itu, bagi mereka yang sukakan bufet ala kampung boleh menikmati bufet Kenduri Senja by Demangan yang terletak di lokasi moden WG Glasshouse, Kajang, Selangor.
Pengunjung dapat menikmati lebih 100 menu termasuk kari kepala ikan jenahak, kambing golek, lontong goreng Johor, makanan laut bakar, aneka kerabu serta kuih-muih klasik yang membangkitkan nostalgia.
Bufet ini ditawar pada harga sekitar RM89 bagi dewasa, manakala harga kanak-kanak RM69.














