SETIU – Seorang peniaga nanas MD2 tersenyum lebar buah varieti premium tersebut semakin laris dengan jualannya meningkat dua ganda pada bulan Ramadan ini.
Siti Kartini Mamat, 38, berkata, permintaan terhadap nanas MD2 melonjak sekurang-kurangnya 400 kilogram (kg) sehari sejak 1 Ramadan minggu lalu.
“Sebelum ini, jualan nanas MD2 cuma kira-kira 200 kg pada hari biasa dan ia telah meningkat dua kali ganda pada bulan Ramadan.
“Selain pelanggan yang membeli secara runcit, buah nanas MD2 saya juga dicari peniaga bazar Ramadan dan pengusaha biskut raya,” katanya ketika ditemui di Kampung Chalok di sini semalam.
Siti Kartini berkata, peniaga bazar Ramadan biasanya membeli buah tersebut untuk membuat menu pajeri nanas, masak lemak nanas ikan masin, kuih-muih dan air.
Beliau berkata, nanas MD2 juga sudah semakin popular dibeli untuk dijadikan jem biskut raya seperti tat nanas.
“Biarpun harganya sedikit mahal, varieti MD2 kini semakin digemari kerana tekstur isinya yang lebih padat dan sangat manis.
“Lidah kita tidak merasa lidas (gatal dan pedih) walaupun memakan nanas MD2 dalam kuantiti banyak,” katanya.
Siti Kartini berkata, walaupun permintaan melonjak pada bulan Ramadan ini, harga nanas MD2 masih terkawal iaitu RM6 sekilogram bagi jualan runcit manakala RM4 untuk jualan borong.
Beliau berkata, bekalan nanas varieti itu diambil daripada pekebun-pekebun berhampiran.















