MENTERI Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari percaya sejarah kegemilangan Malaysia menjulang Piala Thomas pada 1992 mampu berulang kembali menerusi kombinasi pemain profesional dan atlet di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Keyakinan itu timbul susulan kesediaan pemain profesional lelaki negara, Lee Zii Jia untuk membantu kekuatan skuad badminton negara bagi menamatkan penantian gelaran dalam kempen Piala Thomas 2026 di Horsens, Denmark pada hujung April ini.
“Saya ucapkan terima kasih kepada Lee Zii Jia dan pasukan kerana bersetuju untuk bersama kita membawa pulang kegemilangan Piala Thomas yang kali terakhir pada 1992.
“Kejayaan itu akan terulang lagi dengan adanya kombinasi dan kerjasama yang baik daripada pasukan serta semua pemain yang bersetuju untuk bersama dengan pasukan negara,” kata Taufiq selepas Majlis Pelancaran My Athlete Center dan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman bersama MACE Partners di Majlis Sukan Negara (MSN) semalam.
Baru-baru ini, Zii Jia mengesahkan kesediaannya membantu Malaysia dalam kempen Piala Thomas 2026 tanpa mengemukakan sebarang tuntutan kepada BAM.
“Penyertaan ini dilakukan atas dasar semangat cintakan negara untuk memberikan yang terbaik untuk negara. Saya sudah berjumpa dengan presiden dan BAM untuk membincangkan perkara ini dan saya sambut baik keputusan dilakukan.
“Insya-Allah badminton kita terus maju dan membawa pulang kemenangan yang besar untuk Malaysia,” kata Taufiq.














