TURIN – Juventus terlepas peluang melakar kebangkitan sensasi apabila tersingkir daripada Liga Juara-Juara Eropah (UCL) selepas tewas 5-7 secara agregat kepada Galatasaray dalam aksi playoff di Stadium Allianz awal pagi semalam.
Ketinggalan 2-5 selepas aksi buruk di Istanbul minggu lalu, wakil Itali itu turun dengan misi hampir mustahil untuk memperbaiki keadaan dan memburu slot ke pusingan 16 terbaik.
Juventus bagaimanapun mempamerkan semangat luar biasa apabila jaringan Manuel Locatelli, Federico Gatti dan Weston McKennie berjaya mengheret perlawanan ke masa tambahan dalam suasana stadium yang bergema dengan sorakan penyokong.
Namun, segala usaha itu tidak mencukupi apabila Victor Osimhen dan Baris Yilmaz meledak gol pada masa tambahan untuk memastikan Galatasaray mara dengan agregat 7-5.
Locatelli yang juga kapten Juventus, tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya sejurus wisel penamat apabila mengakui emosinya amat terganggu selepas melihat pasukannya terlepas peluang untuk mara.
“Saya rasa seperti mahu menangis. Apa yang saya tahu, kami meletakkan jiwa kami dalam perlawanan itu, kami memberikan segala yang kami ada,” katanya.
Menurutnya, pasukan itu tetap berada di landasan tepat di bawah kendalian jurulatih semasa meskipun tewas dalam beberapa perlawanan terakhir.
“Kami berada di jalan yang betul bersama jurulatih dan saya fikir anda boleh melihatnya, walaupun kami tewas dalam perlawanan-perlawanan terakhir,” jelasnya. – AGENSI














