PESTA ibadah kini bermula dan pada masa sama pesta membeli-belah membuat persiapan Hari Raya Aidilfitri.
Ramadan bukan sahaja menguji rasa lapar dan dahaga tetapi mendidik untuk menahan hawa nafsu daripada melakukan pembaziran, ketamakan dan sikap-sikap kurang baik yang lain.
Sepatutnya umat Islam mengambil peluang untuk menggandakan ibadah tetapi sebaliknya menjadi bulan pembaziran akibat kerakusan dan ketamakan sehingga Ramadan cukup sinonim dengan pembaziran.
Lebih membimbangkan, membeli-belah kini tidak memerlukan seseorang itu untuk keluar dari rumah kerana penjualan di platform online sudah mengambil alih trend pembelian pada masa kini lantas mendorong pembelian agresif atau impulsif.
Pembelian seumpama ini boleh berlaku secara tiba-tiba meskipun barangan atau item itu bukanlah satu keperluaan, namun tindakan tersebut dipacu oleh emosi, pengaruh dan promosi yang menyebabkan seseorang itu ‘terjerat’ dan terbeli.
Bazar Ramadan pula tempat penuh cabaran kerana dalam keadaan lapar dan dahaga boleh menyebabkan pembelian lebih impulsif. Semua yang dilihat nampak sedap dan mahu dibeli.
Sehubungan itu, penting untuk kita tetapkan berapa bajet yang hendak dibelanjakan di bazar Ramadan dan harus kuatkan diri untuk memastikan tidak terlajak. Contohnya, kalau bajet RM20, jangan gatal tangan untuk berbelanja lebih, esok boleh datang lagi.
Kepada peniaga, jangan tamak dengan menyediakan makanan berlebihan tanpa mengira permintaan sebenar sehingga menyebabkan pembaziran dan makanan dibuang dalam tong sampah.
Berpuasalah dengan menggenggam makna sebenar perintah Allah di bulan Ramadan dan pastikan tahun ini kita tidak tewas lagi dengan nafsu sendiri. Selagi diberi kesempatan berada di bulan mulia ini, jangan lepaskan peluang perbaiki diri, gandakan ibadah, besarkan rasa syukur.
Rasai dan fahami keperitan saudara-saudara kita yang dalam kelaparan, kesusahan dan juga ujian peperangan seperti di Palestin.
Sementara itu, Pendakwah bebas, Ustaz Wadi Annuar dalam satu ceramah berkata, Ramadan adalah tetamu mulia yang dihantar oleh Allah SWT dan sesiapa menyambutnya dengan baik, Allah akan memuliakan orang tersebut.
“Allah berfirman dalam satu hadis Qudsi, tiap-tiap kebaikan dan ibadat yang dilakukan oleh anak-anak Adam adalah untuk dirinya. Ada ibadat yang diberi gandaan pahala sebanyak 10, 20 sehingga ratusan melihat kepada iman dan keikhlasan seseorang itu melakukan ibadat tersebut kepada Allah kecuali puasa.
“Wahai Muhammad beritahu kepada umat kamu pahala puasa Ramadan aku rahsiakan, pahala puasa Ramadan bukan digandakan sehingga 700 kali ganda tetapi pahala puasa Ramadan aku rahsiakan.
“Sesungguhnya, puasa Ramadan itu untuk aku. Anak-anak Adam berpuasa untuk aku, mereka berpuasa meninggalkan syahwat untuk aku, mereka meninggalkan syahwat makan kerana aku, mereka meninggalkan syahwat minum kerana aku, mereka meninggalkan syahwat jimak kerana aku dengan sebab itu puasa Ramadan dia untuk aku.
“Oleh itu, aku yang akan memberikan balasan khusus untuk anak-anak Adam yang berpuasa,” katanya.














