GEORGE TOWN – Tular rakaman video memaparkan insiden seorang lelaki dipukul sekumpulan lelaki sehingga kepalanya mengalami kecederaan parah manakala tangan kanannya hampir terputus dalam kejadian dipercayai berlaku di salah sebuah pusat beli-belah di sini, hari ini.
Video berdurasi 29 saat itu memaparkan dua lelaki bertopi keledar memukul lelaki terbabit dipercayai menggunakan senjata tajam di pekarangan luar premis berkenaan.
Pada masa sama, kelihatan dua lelaki yang menunggang motosikal berada berhampiran lokasi kejadian sebelum membonceng dua suspek terbabit lalu meninggal lokasi berkenaan.
Menerusi satu lagi video tular yang berdurasi 17 saat, kelihatan seorang lelaki dalam keadaan berlumuran darah selepas mengalami cedera parah pada kepala termasuk tangan kanannya hampir terputus dipercayai ditetak dua lelaki yang berbaju serba hitam berkenaan.
Video tersebut dipercayai dirakam orang awam yang berada berdekatan lokasi kejadian sebelum ia tular di media sosial.
Bagaimanapun, sehingga kini tiada sebarang pengesahan berhubung kejadian berlaku. – KOSMO! ONLINE






