fbpx
Nor Emylia menunjukkan keadaan di dalam rumahnya di Taman Damai, Bukit Gantang yang musnah akibat ribut semalam.Nor Emylia menunjukkan keadaan di dalam rumahnya di Taman Damai, Bukit Gantang yang musnah akibat ribut semalam.

2025 beraya di PPS, 2026 berpuasa di PPS – Mangsa ribut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BUKIT GANTANG – “Tahun lepas saya beraya di pusat pemindahan Sementara (PPS), tahun ini saya berpuasa di PPS pula.”

Itu luahan seorang mangsa ribut di Taman Damai di Bukit Gantang, Nor Emylia Mohamad Nor, 31, yang kini menjadi salah seorang daripada 45 orang mangsa ribut semalam yang berlindung di PPS Dewan Serbaguna Taman Kaya.

Katanya, kejadian yang dihadapi kali kedua di kediaman sama itu menyebabkan rumah sewanya musnah, dengan nilai kerugian tidak mustahil mencecah ratusan atau ribuan ringgit.

“Kejadian ini berlaku dengan pantas. Sewaktu itu iaitu kira-kira 4.30 petang saya berada di Klinik Kesihatan Pokok Assam, namun apabila pulang memang habis rumah akibat ribut itu.

“Bayangkan, bilik anak dah macam kolam ikan kerana basah ekoran hujan yang masuk secara terus kerana bumbung habis tercabut,” katanya kepada pemberita di PPS Dewan Serbaguna Taman Kaya di Bukit Gantang hari ini.

Terdahulu, mereka menerima kunjungan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal yang menyampaikan sumbangan peribadi kepada mangsa-mangsa ribut tersebut.

Mengulas lanjut, Nor Emylia berkata, kerosakan di rumahnya bermula di bahagian ruang tamu dan sebahagian besar dapurnya serta bilik tidur, dengan pelbagai barangan elektrik turut terjejas dengan kejadian tersebut.

Kata ibu kepada tiga orang anak berusia antara 6 hingga 10 tahun itu, antara barangan elektrik berkenaan termasuklah peti sejuk, kipas siling, mesin basuh dan penghawa dingin selain perabot-perabot.

“Penat sangat apabila terpaksa berhadapan situasi ini sekali lagi apabila kali pertama berlaku Syawal tahun lalu, dan paling sedih, kejadian kali ini berlaku ketika kami mahu menyediakan hidangan untuk berbuka puasa.

“Dimaklumkan kami perlu berada di PPS ini untuk tiga atau empat hari lagi. Nampaknya memang perlu berpuasa di sini sementara penduduk diberikan kebenaran untuk pulang ke rumah masing-masing,” katanya.

Sementara itu, S. Kanageswary, 27, pula berkata, ketika kejadian dia tinggal bersama tiga orang anaknya yang berusia sebulan, 4 dan 5 tahun.

“Saya menyedari kejadian tersebut apabila angin bertiup terlalu kencang sehingga menghasilkan bunyi yang kuat, selain hujan lebat tersebut.

“Sewaktu itu saya hanya fikir nak selamatkan anak-anak yang menangis ketakutan ekoran hujan lebat kira-kira 30 minit berkenaan. Bumbung rumah memang habis diterbangkan angin,” katanya.

Ujarnya, dia pada mulanya berasa panik akibat kejadian itu, menyebabkannya tidak tahu apa yang perlu dilakukan.

Bagaimanapun, menurutnya, dia menggagahkan diri dan sempat menyelamatkan dokumen-dokumen penting sebelum berpindah ke PPS Dewan Serbaguna Taman Kaya.

Jamiah Mat Lazim, 73, pula berkata, rumah yang didiaminya di Taman Sungai Lidin sejak 13 tahun lalu musnah akibat ditimpa dua batang pokok mangga petang semalam.

“Masa kejadian saya berasa begitu takut sehingga menggigil dan nak lari ke mana-mana pun tak boleh. Seorang cucu yang tak dapat keluar bekerja akibat hujan lebat melaungkan azan beberapa kali dan saya sendiri tak putus-putus berdoa kepada Allah.

“Ribut ini mengakibatkan hanya dua, tiga keping atap yang tinggal di dapur, yang lain habis tercabut. Dalam rumah memang basah kena hujan dan barangan seperti sofa tak boleh pakai lagi kerana rosak,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Jawatankuasa Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Perak berkata, seramai 45 orang mangsa dari 28 buah keluarga berlindung di PPS berkenaan.

Katanya, semua keluarga berasal dari Taman Damai, Taman Ria, Taman Kaya, Taman Desa Cemerlang dan Batu 2 ½, Kampung Pak Darus. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI