BUENOS AIRES – Seorang pelancong menerima kecaman orang ramai kerana mengangkat seorang bayi melepasi pagar penghalang untuk merakam gambar yang cantik ketika mereka melawat air terjun setinggi 80 meter di Argentina, lapor akhbar The Sun UK.
Kejadian berlaku di Garganta del Diablo atau lebih dikenali sebagai ‘Tekak Syaitan’ di Taman Negara Iguazu.
Rakaman video dimuat naik di media sosial menunjukkan pelancong terbabit selamba mengangkat bayi itu melepasi pagar penghalang, menyebabkan dia seperti ‘tergantung’ di tepi tebing.
Seorang wanita kemudian mengambar gambar bayi tersebut.
Kawasan itu dilengkapi arahan yang memberitahu pengunjung untuk tidak melepasi atau bersandar pada pagar penghalang.
Tekak Syaitan adalah bahagian terbesar dan paling kuat dalam sistem Air Terjun Iguazu.
Air terjun itu memiliki ketinggian kira-kira 80 meter menyamai ketinggian bangunan 27 tingkat.
Identiti mereka yang terlibat belum dikenal pasti. – AGENSI














