JOHOR BAHRU – Kementerian Pertahanan (Mindef) menambah baik sistem dan pendekatan perolehan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi beberapa perkara terutamanya dalam soal sebut harga.
Langkah itu antara dipersetujui dalam rundingan Mindef bersama Kementerian Kewangan (MOF) berhubung pelepasan dana susulan pembekuan perolehan ATM.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, bagi perolehan akan datang, setiap jawatan kuasa dalam membuat sebut harga perolehan perlu terdiri daripada anggota atau ahli rentas perkhidmatan.
Selain itu, katanya, kaedah tender terbuka antarabangsa juga digunakan jika membabitkan perolehan pembekal peralatan dari luar negara.
“Jika sebut harga perolehan itu dibuat oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), mesti ada ahli dari perkhidmatan lain seperti Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) atau Tentera Darat (TDM) dalam jawatan kuasa itu, begitu juga yang lain.
“Selain itu, kerajaan juga mahu supaya perolehan daripada pembekal, jika ia libatkan peralatan luar negara, mesti dilakukan secara tender terbuka antarabangsa.
“Jika dahulu tidak buat begitu, ejen akan masuk, jadi harganya akan naik, jadi kali ini perlu buat secara langsung,” katanya ketika sidang akhbar selepas Program Back To School Parlimen Pasir Gudang di Dewan Muafakat Jalan Sinar 47, Bandar Seri Alam, Pasir Gudang di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan semua keputusan perolehan membabitkan ATM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi berkaitan yang terkait dengan isu rasuah dibekukan sementara sehingga proses perolehan dipatuhi sepenuhnya.
Anwar dilaporkan berkata, langkah itu diambil bagi memastikan semua perolehan aset pertahanan negara dilaksanakan melalui proses yang telus, susulan dakwaan berhubung isu ketirisan membabitkan ATM baru-baru ini.-KOSMO! ONLINE














