BURIRAM – Prestasi memberangsangkan Francesco ‘Pecco’ Bagnaia pada ujian pramusim Sepang belum cukup untuk membuktikan kebangkitan sebenar pelumba Ducati itu menjelang musim baharu Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP).
Penganalisis teknikal, Mauro Sanchini menegaskan Litar Buriram di Thailand bakal menjadi ujian penting sama ada Ducati benar-benar menemui penyelesaian terhadap masalah yang menghantui Bagnaia musim lalu.
Menurut Sanchini, pencapaian Bagnaia di Sepang tidak mengejutkan kerana pelumba Itali itu sememangnya memiliki rekod baik di Malaysia.
“Prestasi Bagnaia di Sepang tidak mengejutkan saya berdasarkan apa yang berlaku musim lalu. Jika dia dapat mengekalkan kelajuan itu di Thailand, barulah saya percaya mereka benar-benar menemui penyelesaian kepada masalah tahun lalu,” katanya.
Dia menjelaskan bahawa Litar Buriram menuntut gaya tunggangan berbeza dan akan memberikan gambaran lebih jelas tentang tahap sebenar jentera Ducati musim ini.
“Di Buriram, barulah apa yang kita lihat di Sepang boleh dinilai dengan lebih tepat. Litar itu akan memberi petunjuk sebenar kemampuan mereka,” jelasnya.
Sanchini turut meletakkan tanda aras jelas buat Bagnaia apabila mahu melihat pelumba itu sekurang-kurangnya mampu menyaingi rakan sepasukan baharunya, Marc Marquez, di Thailand.
Bagnaia sebelum ini menunjukkan peningkatan dari segi keyakinan selepas berjaya memperbaiki kawalan bahagian hadapan jentera, sekali gus memberinya keyakinan untuk menekan had prestasi dengan lebih agresif.
Sanchini percaya fasa sukar pelumba Ducati itu sudah berlalu, namun menegaskan konsistensi di Thailand menjadi ukuran sebenar kebangkitan bekas juara dunia tersebut. – AGENSI














