SEMAKIN bertambah usia, semakin tinggi risiko menghidapi pelbagai penyakit berbahaya. Atas hakikat itulah, pelakon Daiyan Trisha memilih rutin lebih sihat dengan menjaga diet pemakanannya bagi menjaga kesihatan diri terutama pada bahagian usus. Katanya, dia enggan terus dibebani kebimbangan berdepan risiko kesihatan.
“Bukan usus bocor, tapi ‘leaky gut’, kiranya usus jadi longgar. ‘Leaky gut’ ini sebenarnya bukan istilah perubatan rasmi, cuma ramai orang mengakui turut mengalaminya.
“Selalunya perkara tersebut jadi kalau tak jaga makan dan mungkin juga sebab saya banyak ambil ‘processed food’. Biasalah, nak cepat dan tak sempat masak.
“Mungkin makanan proses tu yang buat usus jadi longgar dan bakteria tak baik lebih mudah masuk,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Daiyan seterusnya melakukan ‘gut reset’ iaitu hanya mengambil makanan yang bersih dan suplemen tambahan.
Bagaimanapun, Daiyan tidak menyangka perlu melakukan pengorbanan yang besar untuk memiliki kesihatan yang baik.
“Bila pemakanan dah bersih, usus pun macam ‘reset’. Harapnya bakteria baik saja yang kekal dan sistem penghadaman jadi lebih stabil.
“Sejujurnya, saya tak sangka saya akan bergelut begini. Orang kata minggu pertama memang paling susah.
“Walaupun saya tak ambil makanan bergula sangat sebelum ini, minggu pertama memang badan menggigil dan sangat mencabar tetapi alhamdulillah, selepas itu makin okey,” katanya lagi.
Tiada niat untuk menunjuk-nunjuk usahanya, dia memberitahu perkongsian dalam media sosial juga mampu memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai kepentingan menjaga kesihatan pada bahagian usus sekali gus mengelak daripada menghidapi sebarang penyakit kronik.
“Saya kongsi bukan sebab nak kurus atau nak badan cantik semata-mata, tapi untuk kesihatan. Walaupun kita jaga penampilan tetapi tetap terleka dalam menjaga bab pemakanan.
“Bila saya kongsi pasal ‘gut reset’, ramai yang cakap terima kasih sebab bagi peringatan.
“Ramai juga yang rasa mereka ada simptom sama dan nak mula jaga makan. Ada yang umur 28 pun dah sedar tak perlu tunggu tua baru nak jaga kesihatan, boleh mula perlahan-lahan dari sekarang,” katanya lagi.
Ditanya tentang pemilihan makanan ketika ini, dia memberitahu memiliki cef peribadi yang dalam masa sama menjaga jenis menunya setiap hari.
“Memang mencabar sebab diet kali ini sangat ketat. Tak boleh makanan bersusu, telur, gandum, makanan laut, daging dan ayam kena ayam kampung sahaja.
“Banyak pantang, tapi sayur dan buah kebanyakannya boleh. Gula pula hanya daripada buah. Syukur badan dah mula biasakan diri dan jadi lebih mudah,” jelasnya yang menangis pada minggu pertama.
Kafe, kedai bunga
Sementara itu, pemilik nama penuh Daiyan Trisha Mohd. Nasaruddin itu menambah satu lagi portfolio tahun ini dalam kamus kerjayanya iaitu sebagai pengusaha kafe Butterfly Florist & Slow Bar yang terletak di Gasket Alley, Petaling Jaya.
Mula dibuka pada 14 Februari depan, Daiyan menggabungkan kedai bunga dan kafe selepas melihat konsep sebegitu mendapat sambutan di luar negara.
“Saya memang suka bunga sebelum terfikir memang suka hantar bunga kepada orang lain yang perlu buat tempahan terlebih dahulu.
“Tapi kalau buka kedai bunga, orang mungkin datang untuk beli bunga semata-mata, jadi saya pilih buat konsep kafe yang orang boleh datang untuk lepak sekali.
“Konsep ini tak banyak di Malaysia, selalu di Korea, Jepun dan New York, sesuatu yang unik dan belum begitu meluas di sini,’ tuturnya.
Dia mengakui memulakan sebuah perniagaan bukan perkara mudah dan banyak cabaran perlu ditempuh dan dipelajari dalam tempoh yang singkat.
“Memang sangat stres, ya Allah. Cabarannya sebab dalam masa yang sama, kerja-kerja lain tetap berjalan seperti muzik dan lakonan.
“Bila terlalu banyak perkara berlaku serentak, memang terasa tekanannya. Tak cukup tidur, bila bangun pagi rasa macam, eh sudah kena bangun ke,” kongsi bintang filem Busker berkenaan.
Penyanyi berusia 33 tahun itu juga bersedia menerima sebarang kritikan yang baginya mampu menambah baik kualiti dan servis di kafe miliknya.
“Saya sedia terima kritikan sebab bukan pakar dalam semua benda dan perlahan-lahan belajar. Kalau tunggu sampai dah betul-betul mahir dan sempurna, mungkin tahun 2030 baru nak mula bisnes,” tutupnya.














