SEREMBAN – Sebuah kilang di Senawang Land Industrial Park di sini yang dipercayai menjalankan aktiviti memproses sisa elektronik secara haram diserbu dalam operasi khas Ops Hazard E‑waste Isnin lalu.
Ketua Polis negeri, Datuk Alzafny Ahmad berkata, operasi disertai Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) itu dilakukan hasil risikan dan aduan berhubung pencemaran serta gangguan bau kurang menyenangkan.
“Pemeriksaan mendapati premis itu menjalankan aktiviti memproses bahan terjadual tanpa kelulusan. Kita merampas 115.4 tan bahan yang dihancurkan menjadi karbon hitam dan sisa plastik bernilai RM577,000.
“Tiga mesin pelebur bernilai RM400,000 dirampas menjadikan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan lebih RM1.2 juta,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, di sini hari ini.
Menurut beliau, seramai lapan lelaki warga Myanmar; tiga lelaki Bangladesh dan seorang wanita China ditahan kerana tidak memiliki dokumen sah.
Siasatan turut mendapati kilang tersebut beroperasi tanpa kebenaran di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014 dan mencuci sisa plastik tanpa sistem pengolahan ‘effluent’ industri.
“Permit asal kilang hanya membenarkan pengeluaran barangan plastik, bukan proses sisa elektronik. Sebelum ini, pihak berkuasa menerima aduan sama berkaitan pencemaran dan bau kurang menyenangkan pada Oktober tahun lalu.
“Walaupun diarahkan untuk menghentikan operasi, kegiatan itu dipercayai masih diteruskan sehingga membawa kepada rampasan besar pada Isnin lalu,” tambah beliau. – KOSMO! ONLINE














