LOS ANGELES, CALIFORNIA – Ketua Pegawai Eksekutif Meta, Mark Zuckerberg memberi keterangan pada perbicaraan penting gergasi media sosial itu semalam, ketika beliau menghadapi kritikan pedas atas tuduhan bahawa syarikatnya sengaja menyebabkan ketagihan kepada kanak-kanak, lapor akhbar The Guardian.
Peguam plaintif menyoal beliau tentang aduan dalaman bahawa tidak cukup usaha dilakukan untuk mengesahkan sama ada kanak-kanak berusia bawah 13 tahun dibenarkan menggunakan platform tersebut.
Zuckerberg berkata, Meta telah ditambah baik dalam mengenal pasti pengguna bawah umur, namun turut menambah: “Saya sentiasa berharap kami dapat sampai ke tahap itu lebih awal.”
Tambah Zuckerberg, sesetengah pengguna berbohong tentang usia mereka apabila menyertai Instagram dan syarikat itu mengalih keluar mereka yang dikenal pasti sebagai pengguna bawah umur.
Peguam plaintif membalas dakwaan tersebut dengan berkata: “Anda menjangkakan seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun akan membaca semua cetakan kecil? Itulah asas anda untuk bersumpah bahawa kanak-kanak di bawah umur 13 tahun tidak dibenarkan (sertai media sosial)?”
Selepas berulang kali mempersoalkan tentang pengesahan umur, Zuckerberg berkata: “Saya tidak nampak mengapa ini begitu rumit.”
Peguam bagi plaintif berhujah bahawa Meta sengaja mereka bentuk platform media sosialnya untuk ketagihan serta menyoal Zuckerberg sama ada beliau tahu tentang bahaya yang boleh ditimbulkan oleh produk syarikatnya terhadap kesihatan mental golongan muda.
Ia merupakan kali pertama Zuckerberg bercakap tentang kebimbangan mengenai keselamatan kanak-kanak di hadapan juri pada sesi perbicaraan.
Perbicaraan itu dijadualkan berlangsung hingga akhir Mac depan, apabila juri memutuskan sama ada Meta serta YouTube yang dimiliki Google, bertanggungjawab atas masalah kesihatan mental yang dialami oleh Kaley G.M.
Dia merupakan seorang penduduk California berusia 20 tahun yang telah menjadi pengguna media sosial tegar sejak kecil. – AGENSI














