KUALA LUMPUR – Bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin memfailkan permohonan supaya lima pertuduhan rasuah yang dihadapi dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.
Perkara itu dimaklumkan peguam Datuk Amer Hamzah Arshad yang mewakili Shamsul, 51, ketika dihubungi hari ini selepas pengurusan kes itu di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi hari ini.
Menurut peguam itu, permohonan yang difailkan pada 4 Februari lalu di Mahkamah Tinggi di sini.
“Tarikh pendengaran permohonan pemindahan telah ditetapkan pada 9 April ini di Mahkamah Tinggi di sini,” katanya.
Berdasarkan dokumen yang diperoleh antara alasan-alasan ringkas untuk memindahkan kes itu ialah terdapat persoalan dan isu undang-undang yang luar biasa dan melibatkan keperlembagaan peruntukan-peruntukan di bawah akta SPRM 2009 dannhanya boleh diputuskan oleh Mahkamah Tinggi dan seterusnya Mahkamah Persekutuan.
“Kes ini merupakan kes kepentingan awam yang melibatkan pertuduhan-pertuduhan ke atas mantan Setiusaha Politik Kanan Perdana Menteri selain permohonan ini tidak memprejudiskan mana-mana pihak,” kata dokumen itu.
Sementara itu, menerusi afidavit sokongan, Shamsul memaklumkan pertuduhan-pertuduhan terhadapnya, melibatkan persoalan-persoalan undang-undang dan isu-isu yang kompleks.
Ia antaranya pemakaian Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) bagi kes-kes melibatkan sumbangan politik, pentafsiran istilah undang-undang yang teknikal di mana kepakaran dan pengalaman Hakim Mahkamah Tinggi akan memainkan peranan penting semasa perbicaraan.
“Saya juga telah dinasihati oleh peguamcara saya dan sesungguhnya percaya bahawa sekiranya perbicaraan dijalankan di Mahkamah Tinggi, maka pihak-pihak akan mendapat peluang untuk merayu kepada Mahkamah yang tertinggi di Malaysia iaitu Mahkamah Persekutuan untuk memutuskan secara mutakhir terutama perkara-perkara yang melibatkan keperlembagaan peruntukan-peruntukan di bawah ASPRM.
“Saya juga percaya bahawa keputusan dan alasan penghakiman oleh mahkamah-mahkamah atasan terutamanya Mahkamah Persekutuan akan memberi manfaat dan panduan kepada mahkamah-mahkamah yang lain,” kata afidavit sokongan itu.
Pada 4 Disember tahun lalu, Shamsul mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas empat pertuduhan rasuah.














