fbpx
MOHD. REDZWAN (tengah) bersama keluarga mentua ketika meraikan sambutan perayaan Tahun Baru Cina sebelum ini. – IHSAN MOHD. REDZWAN

Seronok sambut dua raya, ‘ngaku’ paling laris

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEREMBAN – Setiap kali Tahun Baharu Cina, bukan hanya suasana perayaan yang dinanti, namun hidangan istimewa yang menjadi tumpuan utama lebih 40 ahli keluarga Mohd. Redzwan Shujauddin, 42.

Mohd. Redzwan yang sudah 15 tahun berumah tangga bersama isteri mualaf tercinta, Bibi Aisyah Tan Abdullah, 41, berkata, walaupun anak-anaknya berusia lapan, 10 dan 14 tahun lebih cenderung kepada makanan Barat, mereka tetap menanti juadah tradisi setiap kali perayaan.

Ujarnya, keluarga besar isteri akan berkumpul di Klang dan dim sum serta hidangan laut ­seperti ketam telur masin, ikan stim serta sup lala menjadi sajian pa­ling dinantikan. “Tradisi makan besar sehari sebelum perayaan di rumah mentua bukan sekadar adat, malah medan mengeratkan hubungan keluarga ‘campur’ kami.

“Sebut sahaja makan besar, anak-anak memang tunggu dim sum. Seluruh keluarga memang minat. Hidangan laut seperti ketam telur masin dan ikan stim pula memang ‘highlight’ setiap tahun,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Ujarnya, selain itu, kerepek arrowhead atau ‘ngaku’ juga antara snek wajib yang cepat habis, malah mampu licin dalam tempoh sehari.

Ujarnya, kepelbagaian menu halal yang disediakan keluarga mentua memudahkan semua menikmati juadah.

Jelasnya, perkahwinan ‘campur’ antara bapa yang berketurunan India dan ibu pula seorang Me­layu memudahkannya menyesuaikan diri dengan keluarga isteri.

“Seronok dapat sambut dua perayaan. Bila makan bersama kita belajar budaya masing-­masing dan secara tak langsung hilang rasa kekok atau jurang antara kaum.

“Bagi saya, makanan itu bukan sekadar hidangan tetapi simbol penyatuan keluarga. Tidak kira bangsa atau agama, akhirnya semua berkumpul di meja makan yang sama,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN