fbpx
Anggota penguat kuasa KPDN Kelantan memeriksa minyak masak peket ditinggalkan penyeludup di pangkalan haram Lan Bundle, Lubok Gong dekat Rantau Panjang tengah malam tadi. Foto IHSAN KPDN

Lari tinggal dua tan minyak masak subsidi tepi Sungai Golok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TUMPAT – Cubaan sindiket untuk menyeludup dua tan minyak masak peket bernilai RM4,957 gagal selepas aktiviti itu dikesan pihak berkuasa di pangkalan haram Lan Bundle, Lubok Gong, Rantau Panjang di sini tengah malam tadi.

Serbuan dijalankan pada pukul 12.30 tengah malam sewaktu anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Pasukan Polis Marin Wilayah 3 dan Pasukan Gerakan Am (PGA) melihat sekumpulan lelaki sedang memunggah kotak minyak masak ke dalam perahu.

Timbalan Pengarah KPDN Kelantan, Aswadi Jaafar berkata, menyedari kehadiran pihak berkuasa, kesemua suspek menaiki bot menghala ke kawasan Thailand.

Menurutnya, pemeriksaan di tebing pangkalan haram itu membawa kepada penemuan 500 kilogram minyak masak peket yang ditinggalkan di lokasi tersebut. Turut ditemui 1.5 tan minyak masak peket di dalam dua buah kereta Proton Waja dan sebuah kereta Proton Wira Aeroback.

“Siasatan mendapati, tiga buah kereta bernilai RM15,000 itu digunakan penyeludup untuk mengangkut minyak masak bersubsidi dari luar Kelantan ke kawasan pangkalan haram,” katanya pada sidang akhbar selepas Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baharu Cina 2026 di sini hari ini.

Aswadi memberitahu, kesemua minyak masak dan tiga buah kenderaan itu dirampas selepas didapati tiada individu yang tampil menuntut barangan tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI