BANGKOK – Seorang lelaki di Thailand ditahan kerana melakukan prosedur membesarkan alat sulit lelaki tanpa lesen perubatan sah di rumahnya dan menghubungi pelanggan melalui platform TikTok, lapor portal berita Thaiger.
Suspek dikenali sebagai Thanat, 38, diberkas di kediamannya di Si Racha, wilayah Chon Buri semalam.
Tangkapan dibuat selepas pihak berkuasa menerima aduan bahawa seorang individu tanpa lesen perubatan telah menyiarkan iklan prosedur kosmetik termasuk pembesaran alat sulit di platform TikTok melalui akaun ‘Chang Be Modify’.
Prosedur tersebut melibatkan memasukkan objek asing ke dalam kemaluan lelaki.
Apabila polis tiba di rumah suspek, mereka mendapati Thanat sedang dalam proses menyuntik seorang pelanggan untuk membesarkan alat sulitnya.
Bilik tidur suspek digunakan sebagai bilik pembedahan sementara dan tiada bukti menunjukkan peralatan perubatan yang digunakan telah disanitasi dengan betul.
Polis merampas 683 manik mutiara bulat pelbagai saiz, lima kotak berisi Neuramis Volume Lidocaine filler, larutan garam untuk membersihkan luka, 136 peralatan pembedahan, picagari, jarum dan peralatan lain yang berjumlah lebih 977 item.
Thanat mengaku tidak memiliki lesen perubatan dan premis itu tidak didaftarkan sebagai klinik semasa disoal siasat.
Dia mempelajari cara melakukan implan dan prosedur pembesaran daripada banduan semasa menjalani hukuman penjara atas sabitan jenayah sebelum ini. – AGENSI














