PETALING JAYA – Permintaan dalam negeri yang berdaya tahan dan eksport berterusan dijangka akan terus menyokong pertumbuhan ekonomi Malaysia tahun ini, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).
Katanya, di dalam negeri, perbelanjaan isi rumah akan mendapat manfaat daripada sokongan berterusan melalui pertumbuhan guna tenaga dan upah, serta langkah-langkah dasar kerajaan.
“Aktiviti pelaburan akan dipacu oleh projek berbilang tahun yang terus dilaksanakan dalam sektor swasta dan awam, berserta dengan pelaburan diluluskan yang terus direalisasikan serta pelaksanaan inisiatif pemangkin di bawah pelan induk nasional dan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).
“Dari segi faktor luaran, pertumbuhan eksport akan disokong oleh permintaan global yang stabil, terutamanya bagi barangan elektrik dan elektronik (E&E).
“Pertumbuhan juga akan disokong oleh peningkatan aktiviti pelancongan susulan pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya dalam kenyataan hari ini berhubung perkembangan ekonomi dan kewangan di Malaysia pada suku keempat tahun 2025.
Ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan kukuh sebanyak 6.3 peratus pada suku keempat tahun lalu, yang membawa kepada pertumbuhan 5.2 peratus untuk keseluruhan tahun 2025, mengatasi julat unjuran antara empat hingga 4.8 peratus.
Sementara itu, BNM turut menjangkakan inflasi keseluruhan kekal sederhana tahun ini, berikutan keadaan kos global yang terus reda.
Jelasnya, prospek harga komoditi yang sederhana akan membantu membendung tekanan kos terhadap inflasi.
“Inflasi teras dijangka kekal stabil secara amnya dan hampir kepada purata jangka panjangnya pada tahun 2026, mencerminkan pengembangan kegiatan ekonomi yang berterusan serta ketiadaan tekanan yang berlebihan terhadap permintaan.
“Pelaksanaan pembaharuan dasar dalam negeri pada tahun 2025, seperti peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dan rasionalisasi subsidi RON95 secara bersasar, dijangka memberikan kesan sederhana terhadap inflasi pada tahun 2026,” katanya. – KOSMO! ONLINE














