PETALING JAYA – UDA Holdings Berhad (UDA) terus memperkukuhkan momentum pembangunan hartanah di pasaran Johor menerusi sambutan memberangsangkan terhadap projek kediaman premium, UDA Heights yang kini hampir 80 peratus terjual.
Pemangku Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Azrudyn Rashid berkata, lebih 70 pembeli telah menerima kunci pada Majlis Penyerahan Kunci UDA Heights yang diadakan baru-baru ini dan lebih membanggakan, projek itu berjaya disiapkan dua bulan lebih awal.
“Ia mencerminkan komitmen kami dalam memastikan pelaksanaan projek yang cekap dan berkualiti.
“Pencapaian ini juga menjadi pemangkin kepada UDA untuk terus komited dalam membangunkan projek berkualiti tinggi bagi memenuhi keperluan pasaran hartanah negara serta menyumbang kepada kesejahteraan komuniti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
UDA Heights yang terletak di lokasi strategik di Bandar UDA Utama, Johor Bahru menawarkan dua jenis kediaman iaitu banglo enam bilik tidur serta enam bilik air dan rumah berkembar dilengkapi lima bilik tidur dan enam bilik air.
Ia direka khusus untuk memenuhi keperluan kediaman tiga generasi yang turut dilengkapi dengan bilik utiliti untuk ruang pejabat atau pembelajaran di rumah, dapur kering dan dapur basah, serta tandas mesra orang kurang upaya.
Banglo bersaiz lot 80’ x 90’ ditawarkan pada harga bermula RM2.2 juta, manakala rumah berkembar bersaiz lot 50’ x 70’ pada harga bermula RM1.7 juta.
Mengulas lanjut, Azrudyn berkata, sehingga kini di Johor sahaja, UDA menerusi UDA Land (South) Sdn. Bhd. telah berjaya membangunkan hampir 9,000 unit kediaman dan komersial dengan lebih 70 peratus pembeli merupakan golongan bumiputera.
“Antara projek kediaman yang sedang dibangunkan ialah Sedili Residensi di Tanjung Sedili, Kota Tinggi yang menawarkan 48 unit rumah teres satu tingkat mampu milik.
“Setiap unit berkeluasan kira-kira 861 kaki persegi dan dilengkapi tiga bilik tidur serta dua bilik air, pada harga bermula daripada RM320,060.
“Tahun ini, UDA optimis untuk melancarkan tiga projek baharu, antaranya ialah Residensi Monstera yang menampilkan gabungan rumah bandar dua dan tiga tingkat.
“Selain itu, bagi meneruskan kesinambungan pembangunan baharu di Bandar UDA Utama menerusi UDA Enclave, kami juga bakal melancarkan projek UDA Amarylis Plot 1 dan Plot 2 yang merangkumi pembangunan rumah teres dua tingkat,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE














