PUTRAJAYA- Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam terbuka untuk disiasat oleh mana-mana jawatankuasa bebas yang ditubuhkan kerajaan berkaitan pemilikan saham miliknya.
Menurut Azam, beliau tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan memandangkan semua pengisytiharan kewangan dan harta telah dibuat.
Katanya, perkara itu dilaksanakan selaras dengan peraturan perkhidmatan awam yang berkuat kuasa serta melalui saluran rasmi yang ditetapkan sebagaimana diwajibkan ke atas setiap penjawat awam.
“Saya mengalu-alukan sebarang proses yang telus, bebas dan objektif bagi menentukan fakta berasaskan bukti serta mengikut prinsip keadilan dan keluhuran undang-undang.
“Pendekatan sedemikian penting bukan sahaja untuk mempertahankan integriti peribadi saya, malah bagi mengekalkan keyakinan rakyat terhadap SPRM sebagai sebuah institusi,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.
Azam berkata, sebagai seorang penjawat awam dan ketua kepada agensi penguatkuasaan, mana-mana individu yang berhadapan dengan dakwaan sewajarnya bersikap terbuka dan bersedia disiasat secara bebas dan telus.
“Prinsip ini harus terpakai kepada semua tanpa pengecualian. Budaya akauntabiliti tidak boleh bersifat terpilih atau bermusim.
“SPRM sentiasa mengambil maklum setiap laporan dan aduan yang dikemukakan oleh mana-mana pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan dan akan menilai setiap maklumat berdasarkan undang-undang serta fakta yang diperoleh melalui proses siasatan yang sah,” katanya.
Azam menjelaskan, tiada sesiapa berada di atas undang-undang serta tiada individu juga yang harus dihukum melalui persepsi atau naratif media semata-mata.
“Sepanjang perkhidmatan saya, saya kekal komited terhadap prinsip ketelusan, akauntabiliti dan kedaulatan undang-undang.
“Saya akan terus memberikan kerjasama sepenuhnya kepada mana-mana mekanisme yang sah dan ditubuhkan secara wajar bagi meneliti perkara ini.
“Saya yakin kebenaran akan dapat ditegakkan melalui suatu proses yang adil dan bebas,” katanya. – KOSMO! ONLINE














