GEORGE TOWN – Setiap kali tiba bulan puasa, peniaga ‘bidan terjun’ berebut untuk berniaga di bazar Ramadan tumpuan di kawasan masing-masing disebabkan jumlah pengunjung yang tinggi dan biasanya makanan yang disediakan habis dijual.
Golongan itu yang muncul secara bermusim dikatakan sanggup merayu dan menyewa pada harga yang tinggi semata-mata untuk memenuhi keperluan mereka menyebabkan peniaga sedia ada terpaksa bersaing bagi mendapat lot di bazar Ramadan.
Antara bazar Ramadan yang popular negeri ini adalah di Bayan Baru, Bayan Lepas, Balik Pulau, Pantai Jerejak, Kampung Melayu, Taman Tun Sardon, Komtar, Jelutong dan Nusantara.
Difahamkan, ada peniaga bidan terjun termasuk warga asing sanggup membayar sewa ribuan ribuan ringgit kepada peniaga tempatan.
Pengerusi Persatuan Peniaga-peniaga Melayu Pasar Malam Pulau Pinang, Mohamad Anuar Awang berkata, permohonan mendapatkan gerai di bazar Ramadan kali ini sememangnya amat menggalakkan.
Katanya, kebanyakan pemohon terdiri daripada peniaga sedia ada, selain peniaga bermusim.
“Yang berbeza kali ini, peniaga baharu atau ‘bidan terjun’ sanggup merayu dan membayar sewa pada harga tinggi semata-mata untuk merebut lot di bazar-bazar Ramadan yang popular.
“Tidak dinafikan, bazar Ramadan tumpuan ini dikunjungi ramai pengunjung selain lokasinya yang strategik. Biasanya makanan yang dijualnya juga pasti laris dan cepat habis,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Beliau berkata, kenaikan kadar sewa pada tahun ini hanya melibatkan bazar Ramadan tumpuan iaitu sebanyak RM100 hingga RM200.
Mohamad Anuar tidak menolak mengenai kehadiran peniaga warga asing di bazar Ramadan dan percaya ia didalangi oleh oleh rakyat tempatan sendiri.
“Mereka (warga asing) biasanya berniaga atas tiket orang tempatan. Meskipun jumlahnya tidak ramai, tetapi ada peniaga asing yang menjual menu berbuka yang popular dari negara asal mereka.
“Memang ia tidak memberi kesan kepada kami, tetapi situasi sebegini boleh menutup ruang buat peniaga tempatan terutama peniaga bermusim untuk menjana pendapatan setiap kali tiba bulan Ramadan.
“Orang tempatan dikatakan sanggup jadi ‘ali baba’ menyewa lebih daripada satu tapak di bazar Ramadan dan sewakan semula kepada orang asing dengan kadar yang tinggi,” ujarnya.
Oleh itu, beliau berharap pihak berwajib dapat memantau perkara tersebut dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka yang mengambil kesempatan dengan membuat untung atas angin.
















