KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) melancarkan Jana MyPesara, sebuah program pembiayaan mikro yang bertujuan membantu pesara untuk menjalankan aktiviti menjana pendapatan dan mengukuhkan daya tahan kewangan mereka semasa persaraan.
Ketua Pegawai Eksekutif KWAP, Datuk Nik Amlizan Mohamed berkata, pesara
sektor awam telah menyumbang khidmat bakti yang amat besar kepada negara dan
ramai dalam kalangan mereka masih berhasrat untuk terus aktif dan berdikari serta
terus terlibat secara langsung dalam kegiatan ekonomi.
Namun, bagi sesetengah pihak, cabaran utamanya bukan pada motivasi, sebaliknya kesukaran mendapatkan pembiayaan serta sokongan yang bersesuaian.

“Jana MyPesara akan membantu menangani jurang ini, berteraskan disiplin serta tadbir urus yang kukuh,” katanya pada majlis pelancaran produk tersebut yang disempurnakan oleh Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan di sini hari ini.
Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dilantik sebagai rakan pelaksanaan program ini dan melalui Program Jana MyPesara, agensi tersebut akan menguruskan penyaluran pembiayaan mikro kepada pesara yang layak, berpandukan proses sedia ada yang ditetapkan seperti latihan berstruktur, bimbingan dan pemantauan berkala, sistem Sahabat yang diiktiraf luas serta pendekatan pembiayaan secara berkumpulan.
Berbekalkan infrastruktur yang menyeluruh dan model operasi yang terbukti berkesan, AIM memastikan program ini dapat dilaksanakan secara cekap, di samping memberi panduan rapi kepada peserta sepanjang perjalanan keusahawanan mereka serta membantu menjana pendapatan mampan dalam fasa persaraan.

Program Jana MyPesara dirangka berdasarkan dapatan tinjauan KWAP yang
menunjukkan hampir 60 peratus responden berminat untuk menceburi bidang
keusahawanan selepas persaraan, dengan keperluan menambah pendapatan sebagai
faktor utama.
Dengan KWAP yang kini memberi perkhidmatan kepada lebih 810,000
penerima pencen di seluruh Malaysia dan jumlah ini dijangka terus meningkat seiring
dengan peralihan Malaysia ke arah status negara tua menjelang tahun 2048.
Pelaksanaan Jana MyPesara ini adalah satu langkah yang tepat pada masanya untuk
menyokong para pesara agar kekal terlibat dalam kegiatan ekonomi serta lebih
bersedia menghadapi tahun-tahun akan datang. -KOSMO! ONLINE














