KUALA LUMPUR – Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah melakukan pemeriksaan ke atas premis vape secara serentak di 30 lokasi di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor melibatkan rampasan mencecah RM1 juta.
Komander Briged Tengah PGA, Senior Asisten Komisioner Hakemal Hawari berkata, operasi E-Cigarette itu dijalankan pada pukul 2 petang hingga 12 tengah malam kelmarin melibatkan beberapa agensi termasuk Kementerian Kesihatan (KKM), Lembaga Hasil Dalam Negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan imigresen.
Di Kuala Lumpur, sebanyak 11 pemeriksaan dilakukan, manakala di Selangor (empat), Negeri Sembilan (tiga), Melaka (lima) dan Johor (tujuh), menjadikan keseluruhan 30 lokasi.
“Seramai 51 individu diperiksa terdiri daripada 44 rakyat tempatan, Indonesia (tiga), Bangladesh (dua) dan masing-masing seorang warga India dan Myanmar,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Katanya, hasil operasi itu, dua masing-masing warga Indonesia dan Bangladesh berusia dalam lingkungan 30-an ditahan di bawah Seksyen 6(1)(c) dan dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Siasatan turut dijalankan mengikut Undang-Undang Kecil Pelesenan, Tred, Perniagaan dan Perindustrian 2016, Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 dan Akta Imigresen.
“Sebanyak 16 saman dikeluarkan oleh pihak KKM, manakala PBT pula mengeluarkan 25 kompaun bernilai RM28,500,” ujarnya.
Hakemal berkata, operasi itu akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi membanteras aktiviti menyalahi undang-undang khususnya premis haram, produk tidak diluluskan dan pengambilan pekerja tanpa dokumen sah.
Beliau menegaskan kerjasama orang ramai amat penting dalam menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi memastikan aktiviti jenayah dapat dibanteras secara berkesan. – KOSMO! ONLINE














