KUALA LUMPUR – Sebanyak 2,889 kes buli dilaporkan tahun lalu membabitkan 740 kes di sekolah rendah dan 2,149 kes di sekolah menengah.
Menteri Pendidikan (KPM), Fadhlina Sidek berkata, sehingga 19 November 2025, sebanyak 1,758 sekolah telah menjalani audit keselamatan KPM.
“Kementerian telah melaksanakan pembaharuan segera terhadap sistem dan mekanisme sedia ada.
“Memperkukuh inisiatif sekolah selamat serta meningkatkan program pendidikan berterusan,” katanya menerusi jawapan bertulis kepada Dewan Rakyat semalam.
Terdahulu, Fadhlina berkata, KPM telah menyemak Prosedur Operasi Standard (SOP) berkaitan buli dan salah laku seksual serta menambah baik sistem aduan buli bagi melindungi identiti pengadu dan saksi.
Menurut beliau, langkah lain adalah pemasangan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) serta program sokongan kesihatan mental dan psikososial.
Kata beliau, ia termasuk penempatan 523 guru bimbingan dan kaunseling baharu di sekolah seluruh negara pada tahun 2025.
Tambah beliau, sebanyak RM3 juta telah diperuntukkan bagi pemasangan CCTV di 200 asrama untuk memantau kawasan berisiko tinggi.
“Sebanyak RM5 juta tambahan telah diluluskan bagi 2026 untuk pemasangan CCTV di 333 sekolah berasrama penuh,” katanya. – KOSMO! ONLINE














