JAKARTA – Seorang guru sekolah rendah di Jember, wilayah Jawa Timur mengundang kemarahan orang ramai apabila memaksa 22 murid melucutkan pakaian mereka demi mencari duitnya yang hilang, lapor laman berita Detik.
Kejadian berlaku di Sekolah Dasar Negeri Jelbuk 02 baru-baru ini.
Guru dikenali sebagai FT itu kehilangan wang sebanyak 75,000 rupiah (RM18) pada Jumaat lalu dan 200,000 rupiah (RM47) kelmarin. Dia mengesyaki kecurian itu dilakukan oleh murid-muridnya.
FT memanggil 22 murid berkenaan dan menggeledah setiap beg. Dia kemudian nekad untuk memeriksa pakaian mereka selepas tidak menemui wang tersebut.
Murid-murid itu dipaksa membuka seragam sekolah sekitar pukul 11 pagi (waktu tempatan).
Pemeriksaan itu terbongkar apabila ibu bapa kepada murid-murid terbabit datang ke sekolah selepas mereka tidak pulang ke rumah.
Ketua Pejabat Pendidikan Daerah Jember, Arief Tjahjono berkata, FT telah dipanggil untuk memberikan keterangan.
“FT mengakui kesilapannya. Kami akan mengenakan tindakan yang sesuai,” kata Arief. – AGENSI














