KULAI – Polis telah mengambil keterangan daripada lima individu bagi membantu siasatan kejadian kebakaran sebuah rumah teres dua tingkat di Jalan Tenang 14, Taman Damai Jaya, Skudai di sini yang mengorbankan dua nyawa awal pagi semalam.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, individu terbabit terdiri daripada saksi kejadian iaitu jiran sebelah rumah, pemilik rumah serta suami kepada mangsa terkorban.
Jelasnya, kes tersebut diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) dan siasatan lanjut akan diteruskan bagi memastikan tiada sebarang unsur jenayah terlibat.
“Kita masih lagi menunggu laporan siasatan kebakaran yang dijalankan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat yang telah menjalankan siasatan untuk mengetahui punca kejadian tersebut.
“Dari segi kebakaran, siasatan dijalankan pasukan bomba dan pihak polis hanya menjalankan siasatan berhubung kematian dua mangsa yang terlibat.
“Setakat ini lima saksi telah pun dirakam keterangan bagi membantu siasatan polis termasuk jiran, pemilik rumah serta suami kepada salah seorang mangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Balai Polis Senai di sini hari ini.
Ab Rahaman berkata, hasil bedah siasat mendapati kedua-dua mangsa meninggal dunia akibat daripada kejadian kebakaran iaitu melecur 40 peratus.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan hasrat seorang pekerja kilang untuk menimang cahaya mata sulung Ogos ini tidak kesampaian apabila isterinya yang mengandung tiga bulan ditemukan maut dalam kebakaran di sebuah rumah di Jalan Tenang 14, Taman Damai Jaya, Skudai di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.28 pagi itu, Wan Norkhairani Wan Norzaini, 21, ditemukan meninggal dunia di tingkat atas kediaman dua tingkat itu.
Turut ditemukan maut penyewa bilik di rumah tersebut yang juga rakan mereka, Mohd. Shahrizal Yap, 22.
Menurut Irfan Ibrahim, 24, ketika kejadian dia sedang bekerja shif malam di sebuah kilang di Gelang Patah, Iskandar Puteri sebelum menerima panggilan daripada keluarga memaklumkan kediaman mereka terbakar kira-kira pukul 6 pagi.
“Semasa kejadian isteri saya dan kawan kami berada di rumah. Saya tiba dalam pukul 7 pagi, tengok api dah padam dan bomba serta polis dah sampai,” katanya. – KOSMO! ONLINE














