fbpx
May Ing (duduk, tiga dari kanan), Azman (duduk, dua dari kanan) dan Jason (duduk, tiga dari kiri) pada sidang akhbar di Pusat Khidmat Komuniti Parlimen Beruas dan DUN Pantai Remis hari ini.

Manjung dipilih projek perintis pajakan pelantar ikan di tanah rizab sehingga 30 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PANTAI REMIS – Manjung menjadi daerah pertama di Perak bagi pelaksanaan projek perintis yang membenarkan pajakan sehingga 30 tahun bagi pelantar ikan di atas tanah rizab kerajaan.

Perkara tersebut dimaklumkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Remis, Wong May Ing; ADUN Pengkalan Baharu, Azman Noh dan ADUN Astaka, Jason Ng Thien Yong dalam satu sidang akhbar bersama di Pantai Remis hari ini.

May Ing berkata, projek yang melibatkan lebih 400 pengusaha pelantar tersebut diputuskan pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 21 Januari lalu.
“Kerajaan negeri bersetuju untuk menawarkan pajakan tanah sehingga tempoh maksimum 30 tahun kepada pelantar ikan dan pelantar pemprosesan hasil laut yang terletak di Pulau Pangkor, Pantai Remis, Pengkalan Baharu dan Bagan Panchor.

“Terdapat beberapa syarat yang dikenakan, antaranya berkaitan premium tanah iaitu pada kadar 10 peratus daripada nilai pasaran atau minimum RM10,000,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Khidmat Komuniti Parlimen Beruas dan DUN Pantai Remis hari ini.

Mengulas lanjut, May Ing berkata, syarat itu turut meliputi cukai tanah tahunan iaitu pada kadar RM1.54 bagi setiap meter persegi atau minimum RM168.

Selain itu, katanya, sebarang urusan pindah milik atau gadaian hendaklah mendapat kelulusan bertulis daripada pihak berkuasa negeri, dengan jual beli hanya dibenarkan selepas tempoh 10 tahun pemilikan pajakan.

“Pemberian pajakan jangka panjang ini merupakan yang pertama seumpamanya dalam sejarah kerajaan negeri Perak bagi pelantar ikan di atas tanah rizab, dengan daerah Manjung dipilih sebagai projek perintis pelaksanaannya,” katanya.

May Ing berkata, mesyuarat itu turut memutuskan untuk menawarkan diskaun 75 peratus bagi pembaharuan Lesen Pendidikan Sementara (TOL) bagi tempoh 2023 hingga 2026, dengan notis mengenainya akan dikeluarkan kepada pengusaha terlibat.

Selain itu, katanya, di bawah Kaedah 19(c) Peraturan Tanah Perak 1996 dan selaras dengan Seksyen 14(1) Kanun Tanah Negara (Akta 828), kategori khas Pelantar telah dimasukkan secara rasmi dalam struktur caj TOL.

Sementara itu, Azman berkata, keseluruhan keputusan itu mencerminkan pendekatan kerajaan negeri yang lebih pragmatik dan anjal dalam menyeimbangkan keperluan perundangan dengan realiti operasi industri perikanan.

“Kerajaan negeri berharap dapat menyediakan persekitaran operasi yang lebih stabil, mampan dan berdaya maju demi kelangsungan sektor perikanan di daerah Manjung,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN