fbpx
Tidak banyak kandungan di media sosial yang membuat ulasan mengenai kafe sebagai lokosi bekerja.

Isaac aktif ulas kafe untuk bekerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DI tengah-tengah budaya kerja fleksibel yang semakin berkembang, ada segelintir anak muda memilih untuk menjadikan kafe sebagai ruang bekerja kondusif.

Bagi seorang pemuda, hobi membuat ulasan kafe mesra kerja (work-friendly cafes) bermula sekadar berkongsi pengalaman peribadi mencari ruang yang tenang, selesa dan mempunyai sambungan internet stabil.

Namun, minat tersebut kini berkembang menjadi satu platform perkongsian di dalam TikTok, sekali gus memberi manfaat kepada beberapa komuniti seperti pekerja bebas, usahawan kecil atau mereka yang mahu menyiapkan tugasan di kafe.

Berkongsi dengan K-Remaja, Aizad Thabrani atau lebih mesra disapa Isaac memberitahu, idea membuat ulasan kafe sebagai lokasi bekerja di TikTok bermula selepas menyedari tidak banyak ulasan sedemikian ditemui di media sosial.

“Saya perasan di TikTok, tidak banyak kandungan yang membuat ulasan tentang kafe sebagai lokasi bekerja.

“Biarpun ada pencipta kandungan yang membuat review mengenai kesesuaian sesebuah kafe dijadikan working space, namun kriteria penting seperti kelajuan Wi-Fi, akses kepada suis (plug points) dan kerusi selesa untuk duduk sepanjang hari tidak dititikberatkan,” katanya.

KAFE bukan saja tempat untuk makan dan minum, malah lokasi itu juga sesuai dijadikan lokasi menyiapkan tugasan.

Justeru, pemuda berusia 27 tahun itu mula menghasilkan siri di platform TikTok bertajuk, ‘Going To Cafes To Get Stuff Done’ yang semakin mendapat sambutan.

Buat masa ini, kebanyakan kafe diulas Isaac terletak di sekitar Lembah Klang, namun ramai yang memintanya membuat ulasan kafe di lokasi lain termasuk di Kuching, Sarawak.

Rata-rata pengguna TikTok sukakan ulasan dibuat Isaac kerana ramai yang mengakui gemar menyiapkan kerja di kafe.

Kebanyakan pengguna TikTok sangat menghargai review tentang tahap keselesaan kerusi di sesebuah kafe.

Ujar anak kelahiran Sarawak itu, tiga elemen utama yang dinilai di setiap kafe dikunjunginya adalah kelajuan Wi-Fi, keselesaan kerusi dan meja serta kedudukan suis.

Jelas Isaac, terdapat beberapa kafe yang pernah dikunjunginya disifatkan sebagai tidak sesuai untuk bekerja.

“Jika kafe itu tidak sesuai sebagai lokasi bekerja, ia selalunya disebabkan oleh kerusi yang tidak sesuai.

“Sebagai contoh, penggunaan kerusi jenis bangku yang tidak mempunyai ‘backrest’ untuk bersandar atau penggunaan kerusi jenis healing (sering digunakan ketika aktiviti luar) tidak sesuai untuk bekerja,” katanya.

Bagi mereka yang berminat membuat kerja atau tugasan di kafe, Isaac menyarankan supaya selidik dulu kafe mahu dikunjungi.

“Nasihat saya, selidik dulu kafe yang ingin anda kunjungi sama ada di Google atau TikTok.

“Ini kerana, ada sesetengah kafe sememangnya direka untuk melepak atau mementingkan estetika tertentu, dan tidak sesuai dijadikan tempat bekerja serta membuat tugasan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN