fbpx
Mohd. Rosli (tengah) menyaksikan penyerahan tugas Pengarah APMM Kelantan daripada Erwan Shah (kiri) kepada Kamal di Ibu Pejabat APMM Kelantan, Tok Bali di Pasir Puteh hari ini. FOTO KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN

RM232 juta tingkat keselamatan, penguatkuasaan maritim perairan Kelantan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PASIR PUTEH – Sektor keselamatan dan penguatkuasaan maritim di perairan Kelantan akan terus dipertingkatkan selepas kerajaan meluluskan beberapa projek pembangunan strategik bernilai RM232 juta yang kini berada pada fasa awal pembinaan.

Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Datuk Mohd. Rosli Abdullah, berkata, peruntukan itu melibatkan pembinaan infrastruktur penguatkuasaan pembinaan jeti sepanjang 200 meter, pejabat operasi dan lokap tahanan dengan tempoh siap dijangka dalam masa tiga tahun.

Menurutnya, cadangan pembangunan Pangkalan APMM Pengkalan Kubor seluas lebih satu hektar turut mendapat persetujuan Kementerian Dalam Negeri yang dijangka bermula pada 2027.

“Kos pembinaan pangkalan APMM di lokasi strategik itu dianggarkan mencecah RM5 juta. Projek kedua itu masih pada peringkat awal berbanding pembinaan ibu pejabat APMM Kelantan berhampiran Kuala Tok Bali di sini.

“Satu lagi projek penting adalah pembinaan kemudahan tahanan vesel di Sungai Semerak di atas tanah seluas kira-kira setengah ekar bernilai RM2 juta hingga RM3 juta yang ketika ini masih di peringkat awal perancangan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Pengarah APMM Kelantan di Ibu Pejabat APMM Kelantan di sini hari ini.

Pada majlis itu, Mohd. Rosli menyaksikan penyerahan tugas Pengarah APMM Kelantan daripada Kepten Maritim Erwan Shah Soahdi kepada Kepten Maritim Kamal Mohamad.

Mengulas lanjut, Mohd. Rosli memberitahu, tapak tahanan vesel APMM Kelantan ketika ini disewa sementara sebelum pemilik tanah bersetuju untuk menjualnya kepada kerajaan bagi tujuan pembangunan jangka panjang.

Menurutnya, kawasan tersebut selepas ini mampu menempatkan lebih 10 vesel pada satu-satu masa sekali gus memperkukuh keupayaan penguatkuasaan undang-undang maritim di perairan Kelantan.

Dalam perkembangan lain, Mohd. Rosli berkata petunjuk prestasi utama (KPI) penguatkuasaan kini memberi fokus kepada pematuhan undang-undang dalam kalangan warga maritim sepanjang diperairan seluruh negara.

Tambah beliau, sebanyak 250,000 pemeriksaan telah dijalankan sepanjang tahun lalu dengan hanya 2,000 tangkapan direkodkan iaitu hanya dua peratus daripada sasaran ditetapkan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI