fbpx
Keadaan kereta dinaiki Allahyarham Siti Nurlieyana Azieka (gambar kecil) selepas terlibat kemalangan di Kampung Banggol Petai, Machang awal pagi tadi. FOTO IHSAN BOMBA

Sempat ajar syahadah isteri maut kemalangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MACHANG – Seorang suri rumah yang baru melangsungkan perkahwinan kira-kira 50 hari lalu maut manakala suaminya cedera selepas kereta yang mereka naiki berpusing dan merempuh sebuah trak pikap di Kampung Banggol Petai di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, Siti Nurlieyana Azieka Rosli, 23, meninggal dunia di lokasi kejadian dan suaminya, Mohd. Khairil Md. Rahim, 22, cedera ringan.

Mohd. Khairil Md. Rahim, 22, berkata, dia dan arwah isteri sedang dalam perjalanan pulang dari rumah mentua di Kota Bharu ke rumah mereka di Kampung Slow Bedal, Kuala Krai.

Menurutnya, semasa tiba di lokasi kejadian, dia cuba memotong sebuah motosikal sebelum kereta tersebut berpusing dan merempuh sebuah trak pikap.

“Saya sempat keluar dari kereta untuk membantu isteri, tetapi gagal kerana dia tersepit. Saya memegang tangan arwah dan sempat mengajarnya dua kalimah syahadah sebelum dia menghembuskan nafas terakhir.

“Sebelum kemalangan itu, saya sempat membantu seorang penunggang motosikal berusia dalam lingkungan 50-an yang terlibat nahas di Wakaf Siku, Kota Bharu. Saya sempat berseloroh dengan rakan lelaki itu bahawa saya pula akan mati selepas ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Machang di sini hari ini.

Mohd. Khairil yang bekerja secara dalam talian memberitahu, selepas membantu kemalangan motosikal itu, isteri pula bercakap pasal kematian dan arwah meminta agar dia memberi kasih sayang sepenuhnya.

Menurutnya, tidak lama selepas itu, kami pula terbabit dalam kemalangan sehingga menyebabkan isteri hilang dalam sekelip mata.

“Sebelum ini, isteri ada membeli alat ujian kehamilan dan dia kelihatan sangat gembira selepas membuat ujian tersebut. Arwah bagaimanapun tidak memaklumkan kepada saya bahawa dia hamil atau sebaliknya.

“Pertanyaan saya itu akhirnya terjawab hari ini apabila pihak hospital mengesahkan arwah isteri tidak hamil selepas proses bedah siasat dijalankan,” ujarnya.

Mohd. Khairil berkata, jenazah isterinya dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Chap, Bekelam, Bachok kira-kira pukul 5.30 petang ini.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Machang, Ahmad Syauqi Afiq Che Darus berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 1.01 pagi sebelum anggota bomba bergegas ke lokasi kemalangan.

Menurutnya, anggota bomba mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan seorang wanita yang tersepit di dalam kereta itu sebelum mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI