LUMUT – Kapal Tempur Pesisir (LCS) 3 milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang dinamakan Sharif Mashor dilancarkan hari ini di Limbungan Lumut Naval Shipyard (LUNAS) di Pangkalan TLDM Lumut.
Majlis penamaan dan pelancaran kapal itu disempurnakan oleh Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd. Sanusi sambil disaksikan Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Zulhelmy Ithnain dan Ketua Pegawai Eksekutif LUNAS, Ir Azhar Jumaat.
Kapal tempur Sharif Mashor merupakan kapal ketiga selepas Kapal Diraja (KD) Maharaja Lela dan Raja Muda Nala.
Nama Sharif Mashor dipilih untuk kapal LCS 3 bagi menghormati tokoh sejarah yang pernah memerintah Sarikei, Sarawak pada pertengahan abad ke-19.
Selain dikenali atas keberanian dan kepimpinannya dalam mempertahankan wilayah, beliau turut memainkan peranan penting dalam konflik serantau dan usaha penentangan pada zaman yang penuh cabaran.
Penamaan LCS 3 itu melambangkan semangat, keberanian dan komitmen berterusan dalam mempertahankan kepentingan maritim negara.
Sementara itu, Adly ketika membacakan teks ucapan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, LCS 3 adalah simbol kebanggaan negara kerana merupakan kapal kelas frigat pertama yang dibina sepenuhnya oleh syarikat tempatan, LUNAS.
Katanya, proses pembinaan kapal itu bermula dengan majlis perletakan lunas atau ‘keel laying’ pada 29 November 2017 dan kini sedia dilancarkan.
“Kejayaan ini secara tidak langsung mencerminkan keupayaan anak-anak tempatan merealisasikan aspirasi negara untuk bersaing dalam industri berat dan industri pertahanan di peringkat global,” katanya.
Sementara itu beliau berkata, pemilihan nama Sharif Mashor bagi LCS 3 adalah sebagai penghargaan untuk jasa dan perjuangan pahlawan dari Sarawak itu yang terkenal dengan semangat pertiwi yang tinggi dan pernah merancang penentangan terhadap pemerintahan Brooke.
Katanya, semangat kepahlawanan, perjuangan, dan keberanian beliau sangat sesuai diinspirasikan dengan keupayaan kapal tempur pesisir TLDM yang mampu menangkis serangan musuh dari pelbagai dimensi.
“Pemilihan nama pahlawan dari Sarawak ini disifatkan sebagai bertepatan dengan ketokohannya. Beliau pada awalnya merupakan pemerintah Sarikei yang mengawal Batang Rejang.
“Pada tahun 1859, beliau dikaitkan dengan pembunuhan pegawai Brooke di Kanowit, sebagai sebahagian daripada pakatan menjatuhkan kuasa Brooke,” katanya.
Pada 24 Ogos 2017, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan menyempurnakan pelancaran dan penamaan LCS pertama TLDM bernilai RM1.5 bilion iaitu Kapal Diraja (KD) Maharaja Lela.
Pada 4 Julai 2025, LCS 2 dilancarkan dan dinamakan sebagai Raja Muda Nala sempena nama anakanda Sultan Selangor pertama, Raja Muda Nala Shah Sultan Salehuddin Shah.
Upacara penamaan dan pelancaran kapal itu disempurnakan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin sambil disaksikan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. – KOSMO! ONLINE














