fbpx
INDIVIDU yang berkumpul dan menceroboh ke kawasan ladang sawit di Rompin semalam.

Polis siasat pihak ketiga kes ceroboh tanah Sultan Pahang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUANTAN – Polis tidak menolak kemungkinan wujud pihak tertentu yang menghasut sekumpulan Orang Asli dalam kes pencerobohan tanah ladang kelapa sawit di Kampung Jemeri, Rompin, semalam.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk kemungkinan terdapat unsur dorongan pihak lain yang cuba mengambil kesempatan terhadap isu berkenaan.

“Seramai 21 individu Orang Asli terdiri daripada 17 wanita dan empat lelaki berusia antara 25 hingga 60 tahun ditahan selepas didapati memasuki kawasan ladang berkenaan yang mempunyai pemilik sah serta telah dibuat pengukuran dan di pagar.

“Polis menerima aduan bahawa pagar ladang telah dirosakkan sebelum kumpulan ini memasuki kawasan berkenaan. Tanah itu merupakan tanah milik yang mempunyai geran sah dan pemiliknya juga telah membuat laporan sebelum ini berkaitan kejadian sama,”katanya pada sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat polis Kontinjen (IPK) Pahang, di sini, hari ini.

Hari ini Kosmo! Online melaporkan seramai 21 individu terdiri daripada empat lelaki dan 17 wanita ditahan kerana disyaki menceroboh tanah milik Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Ketua Polis Daerah Rompin, Superintendan Sharif Shai Sharif Mondoi dilaporkan berkata, penahanan dilakukan semalam selepas pihak polis menerima aduan mengenai pencerobohan itu daripada wakil syarikat yang dilantik mengusahakan tanah berkenaan.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana menceroboh dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.

“Kita masih dalam tempoh siasatan dan jika siasatan dapat diselesaikan dalam tempoh 24 jam, mereka mungkin dibebaskan dengan jaminan.

“Namun, jika siasatan belum lengkap, polis akan memohon perintah reman,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang andaian atau tuduhan tanpa menyemak fakta sebenar berkaitan status pemilikan tanah.

“Tanah itu ada pemilik yang sah. Pencerobohan tetap merupakan satu kesalahan di sisi undang-undang.

“Kita juga sedang menyiasat sama ada terdapat pihak lain yang cuba menghasut atau mempengaruhi kumpulan ini untuk masuk ke kawasan ladang dan mengambil hasil kelapa sawit,”ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN